FIFA gantung Real, Atletico daftar pemain baru

FIFA gantung Real, Atletico daftar pemain baru

ZURICH, Switzerland, 15 Jan (Reuters) – Real Madrid dan kelab tetangga, Atletico Madrid digantung daripada mendaftarkan pemain bagi dua tempoh perpindahan kerana didapati bersalah melanggar peraturan menandatangani pemain di bawah had umur.

Penggantungan oleh Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) itu turut merangkumi empat anak kepada pengurus baharu Real, Zinedine Zidane iaitu Enzo, Luca, Theo dan Elyaz.

Larangan yang diumumkan, semalam itu bermakna kedua-dua kelab yang ketika ini menghuni tangga pertama dan ketiga La Liga Sepanyol tidak boleh mendapatkan pemain baharu sehingga Julai 2017 sejurus perpindahan musim sejuk berakhir, hujung bulan ini.

Selain itu, Atletico turut dikenakan denda 900,000 Swiss francs manakala juara Eropah 10 kali, Real, dikenakan sebanyak 360,000 Swiss francs.

“Kedua-dua kelab didapati melanggar beberapa peruntukan mengenai pemindahan antarabangsa dan pendaftaran pertama untuk pemain bawah umur serta beberapa peruntukan lain yang berkaitan dengan pendaftaran dan penyertaan pemain tertentu dalam kejohanan,” kata kenyataan dikeluarkan oleh FIFA.

Reaksi Diego Simeone semasa pasukannya menentang Rayo Vallecano dalam aksi Copa del Rey di stadium Vicente Calderon, kelmarin. – Reuters
Reaksi Diego Simeone semasa pasukannya menentang Rayo Vallecano dalam aksi Copa del Rey di stadium Vicente Calderon, kelmarin. – Reuters

Begitupun, kedua-dua kelab diberikan tempoh 90 hari untuk merombak semula situasi mereka dan boleh menjual pemain ketiga penggantungan.

Kelab terkaya dunia menerusi pendapatan, Real, menafikan melakukan sebarang kesalahan dan mengesahkan akan membuat rayuan dengan pengarah urusannya, Jose Angel Sanchez menggelar penggantungan itu sebagai “tidak masuk akal.”

“Empat anak Zidane yang ketika ini beraksi bersama pasukan peringkat umur di kelab itu sudah menetap di ibu negara Sepanyol sejak empat tahun lalu,” kata Sanchez.

Presiden Atletico, Enrique Cerezo juga mengesahkan pihaknya akan membuat rayuan. Satu lagi kelab gergasi Sepanyol, Barcelona pernah berdepan penggantungan sama pada April 2014 dan rayuan mereka di Mahkamah Timbang Tara Sukan turut ditolak.