FIFA kenakan sekatan ke atas FAM

FIFA kenakan sekatan ke atas FAM

LAUSANNE, 6 Okt (AFP) – Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) hari ini mengumumkan siri sekatan ke atas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Ia sebagai hukuman atas kekecohan penonton ketika aksi kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019, Malaysia menentang Arab Saudi di Stadium Sham Alam pada 8 September lalu.

Sekatan itu merangkumi perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018, Malaysia menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 17 November ini akan diadakan di stadium tertutup.

Selain itu, FAM turut didenda sebanyak 40,000 Swiss francs (RM174,870) dan diberi amaran. Skuad Harimau Malaya turut diisytihar kalah 3-0 dalam perlawanan itu.

Jawatankuasa Disiplin FIFA dalam kenyataannya itu berkata, hasil siasatan mereka menunjukkan FAM ‘bertanggungjawab terhadap kelakuan penonton’.

Dalam insiden pada minit ke-88 permainan itu, sekumpulan penonton yang marah dengan kekalahan memalukan 10-0 Malaysia kepada UAE, membaling suar berwarna oren ke padang di Stadium Shah Alam ketika tuan rumah sedang ketinggalan 2-1.

Berikutan insiden itu, pemain dan pegawai kedua-dua pasukan terpaksa keluar dari padang manakala penyokong Arab Saudi yang berada di kawasan tempat duduk turut melarikan diri selepas asap suar memenuhi kawasan stadium.

Seramai 11 penonton ditahan, namun tiada sebarang kecederaan dilaporkan berlaku.

Presiden Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC), Shaikh Salman bin Ebrahim Al Khalifa sebelum ini berkata pihaknya ‘sangat mengambil berat’ dengan keganasan dan menyokong sebarang siasatan dilakukan oleh FIFA.

Kekecohan penonton dalam aksi Malaysia menentang Arab Saudi dikaitkan dengan kumpulan penyokong tegar dikenali Ultras Malaya, yang mendakwa FAM tidak cekap dan mengancam untuk mengganggu perlawanan itu.