FIFA masih bayar gaji Blatter

FIFA masih bayar gaji Blatter

MIAMI, 19 Jan – Sepp Blatter digantung selama lapan tahun daripada aktiviti bola sepak namun dia masih boleh menerima gaji selaku presiden FIFA, kata seorang jurucakap daripada Jawatankuasa Audit dan Pematuhan badan induk itu, semalam.

Blatter digantung selama 90 hari daripada FIFA pada 8 Oktober lalu dan kemudian digantung selama lapan tahun bulan lalu kerana melanggar etika dengan melakukan pembayaran AS$2 juta oleh FIFA kepada presiden bola sepak Eeropah, Michel Platini pada 2011 menerusi persetujuannya.

Namun Blatter yang sudah memegang jawatan presiden FIFA sejak 1998, akan terus dibayar gaji sehingga presiden baharu dipilih pada 26 Februari ini, kata jurucakap, Andreas Bantel.

Ini bermakna Blatter akan dibayar gaji hampir untuk tempoh lima bulan bermula dari tarikh kuasa tugasnya dilucutkan, dan tempoh di mana FIFA melantik pemangku presiden, Issa Hayatou.

Walaupun digantung perkhidmatan, Blatter masih lagi menerima gaji dari FIFA. - Reuters
Walaupun digantung perkhidmatan, Blatter masih lagi menerima gaji dari FIFA. – Reuters

Jawatankuasa Kecil Pampasan dari Jawatankuasa Audit dan Pematuhan baru-baru ini memutuskan yang mereka boleh menamatkan bonus Blatter namun bukan gajinya, sebagaimana termaktub dalam kontrak perjanjian sebelum ini.

“Sehingga pemilihan baharu presiden pada 26 Februari ini, Blatter adalah presiden yang dipilih dan oleh itu – mengikut kepada kontrak – dia layak untuk menerima gajinya,” kata Bantel.

Peguam Blatter dari Amerika Syarikat dan jurucakapnya yang berpangkalan di Switzerland tidak dapat dihubungi untuk ulasan lanjut. – Reuters