FIFA perlu s’jaya bebas

FIFA perlu s’jaya bebas

BERLIN, 16 Julai – FIFA memerlukan suruhanjaya bebas untuk menamatkan ‘budaya rasuah’ yang memusnahkan badan induk bola sepak dunia itu, kata Transparensi Antarabangsa semalam.

Pemerhati antirasuah yang menyertai reformasi yang tidak berkesan pada 2011 di bawah presiden FIFA Sepp Blatter, meminta pemulihan lebih jauh terhadap badan itu untuk menamatkan rasuah sistematik yang membelenggunya selama beberapa tahun.

“FIFA telah dilayangkan kad merah banyak kali namun gagal untuk berubah. Ia adalah demokrasi cacat jauh daripada peminat yang menyokong perlawanan itu,” kata Cobus de Swardt, pengarah urusan NGO yang berpangkalan di Berlin dalam satu kenyataan.

“Perlu ada suruhanjaya reformasi bebas dan FIFA perlu berubah. Tiada lagi kesukaran, skandal dan tidak ada lagi serbuan awal pagi. FIFA ada hutang dengan peminat dan pemain untuk berubah sekarang.”

Laporan bersama Avaaz, Konfederasi Kesatuan Perdagangan Antarabangsa dan kumpulan NewFifaNow bertajuk ‘Give Back the Game – How to Fix FIFA’ meminta lebih banyak ketelusan berhubung pembayaran, tempoh penggal eksekutif dan pelantikan pengarah bebas.

Ia berlaku ketika senator AS meningkatkan pengawasan terhadap FIFA berhubung dakwaan rasuah yang tersebar dan menjelang mesyuarat pertubuhan tertinggi bola sepak di Zurich Isnin depan yang dijangka akan menetapkan tarikh untuk melantik pengganti Blatter. Ia juga menyusul resolusi Parlimen Eropah minggu lalu yang mengecam ‘rasuah sistematik dan keji’ dalam FIFA dan meminta sebuah suruhanjaya reformasi bebas ditubuhkan.

FIFA berada dalam krisis itu Mei lalu apabila tujuh pegawai ditahan di hotel Zurich yang mewah selepas didakwa terlibat dalam lebih AS$150 juta sogokan yang diberikan untuk mendapat persetujuan pemasaran perlawanan bola sepak di negara Utara dan Selatan Amerika. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA