FIFA perlu tegas

FIFA perlu tegas

ZURICH, 15 April (AFP) – FIFA harus menunjukkan bahawa mereka menghormati hak asasi manusia dan menghindari ancaman Piala Dunia untuk membuktikan ia benar-benar serius dalam perniagaan, satu kajian semula bebas terhadap badan bola sepak dunia itu berkata, hari ini.

Laporan bekas wakil khas PBB, John Ruggie mengenai hak asasi manusia dan perniagaan mungkin meningkatkan tekanan ke atas tuan rumah Qatar 2022 yang dikecam atas layanan buruk mereka terhadap buruh asing.

FIFA juga dikecam kerana pendiriannya mengenai hak asasi manusia di negara-negara tuan rumah lain termasuk Rusia, yang akan menganjurkan kejohanan terbesar bola sepak itu pada 2018.

“Di mana FIFA tidak dapat mengurangkan kesan buruk hak asasi manusia dengan menggunakan kuasanya, ia perlu mengambil kira untuk menggantung atau menamatkan hubungan dengan negara berkenaan,” kata laporan Ruggie.

“Seperti mana-mana syarikat lain, FIFA perlu mampu menamatkan hubungan jika hak asasi manusia dicabuli,” kata Ruggie, seorang profesor hak asasi manusia Universiti Harvard kepada AFP. “Ini bermakna FIFA perlu menulis perjanjian untuk kejohanan Piala Dunia dari awal.”

Ibu pejabat FIFA di Zurich, Switzerland. – AFP
Ibu pejabat FIFA di Zurich, Switzerland. – AFP

Laporan itu telah dibuat oleh FIFA pada Disember untuk menilai usaha hak asasi manusia sebelum memilih tuan rumah untuk kejohanan 2026.

Laporan itu menetapkan 25 cadangan tindakan termasuk menggesa FIFA mengintegrasikan hak asasi manusia dalam amalan menjelang pemilihan tuan rumah 2026 dan diselaraskan dengan prinsip PBB untuk Perniagaan dan Hak Asasi Manusia.

Ruggie membuat kesimpulan badan pentadbir itu boleh melakukan banyak lagi untuk menguatkuasakan perlindungan hak asasi manusia. “FIFA telah dilanda dakwaan mengenai pencabulan hak asasi manusia berkaitan hubungan dan acaranya,” kata profesor Universiti Harvard, Ruggie.

“Laporan terkenal antaranya ialah kematian pekerja pembinaan asing di Qatar, yang telah dianugerahkan Piala Dunia 2022, dan sistem kafala di negara itu yang sering meninggalkan pekerja asing dalam keadaan buruh terikat.

Laporan itu meneruskan: “Di mana FIFA tidak dapat mengurangkan kesan teruk hak asasi manusia dengan menggunakan kuasanya, ia perlu mengambil kira menggantung atau menamatkan hubungan. Jika tidak boleh melakukan semua ini, FIFA terpaksa menerangkan dengan jelas mengapa.”