FIFA tangguh aksi Palestin, Arab Saudi

FIFA tangguh aksi Palestin, Arab Saudi

LAUSANNE, Switzerland, 8 Okt (AFP) – FIFA menangguhkan perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2018 membabitkan Palestin dan Arab Saudi sehingga keputusan di mana lokasi perlawanan membabitkan kedua-dua pasukan itu diputuskan.

Satu pertemuan diadakan di ibu pejabat Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) di Zurich, semalam membabitkan Presiden Persekutuan Bola Sepak Palestin, Jibril Rajoub dan rakan sejawatannya dari Arab Saudi, Ahmed Eid Al Harbi untuk membincangkan isu terbabit.

“Diputuskan perlawanan itu ditangguhkan sehingga proses ini dimuktamadkan,” kata jurucakap FIFA kepada AFP, hari ini.

Jawatankuasa penganjur Piala Dunia 2018, yang dipengerusikan Presiden UEFA, Michel Platini akan bertemu sekali lagi dalam tempoh beberapa hari selepas ini untuk membincangkan perkara ini, kata sumber terbabit.

Perlawanan yang berlangsung pada 13 Oktober ini dijadualkan di Tebing Barat, kawasan yang dikuasai Israel namun Arab Saudi pada 23 September lalu memohon perlawanan itu dijalankan di lapangan yang neutral.