FIFA tingkat urus tadbir NFABD

FIFA tingkat urus tadbir NFABD

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Mac – Ke arah mempertingkat dan memantapkan lagi urus tadbir NFABD dan memberi pencerahan kepada para EXCO, Jawatankuasa Tetap dan Urusetia NFABD terhadap bidang tugas, peranan dan tanggungjawab mereka masing-masing, FIFA telah menganjurkan Kursus Sistem Sokongan Pengurusan Kewangan buat mereka.

Memudahcara kursus berkenaan ialah Pegawai Perkembangan, FIFA, Domeka Garamendi; Pengurus Perkembangan – Asia, FIFA, Alexandre Gros; Pegawai Perkembangan, AFC, Sonam Jigmi dan Perunding (Pemasaran), FIFA, Maricar Iqbal.

Domeka Garamendi dalam temu bual bersama media menjelaskan kunjungan FIFA kali ini adalah kesinambungan kepada kunjungan mereka pada awal tahun lalu, khusus bagi meneliti perkembangan terkini NFABD selepas setahun khususnya dari sudut sistem pengurusan kewangan, mendraf laporan dan memberikan cadangan ke arah pembaikan peringkat selanjutnya.

Menurutnya kunjungan mereka itu adalah tepat pada masanya memandangkan NFABD merupakan persatuan baru, kemudiannya dibarisi oleh para EXCO yang baru dipilih, Jawatankuasa Tetap baru serta kakitangan baru.

EXCO, Jawatankuasa Tetap, Pegawai & Urusetia NFABD semasa Kursus Sistem Sokongan Pengurusan Kewangan anjuran FIFA di NFABD House.
EXCO, Jawatankuasa Tetap, Pegawai & Urusetia NFABD semasa Kursus Sistem Sokongan Pengurusan Kewangan anjuran FIFA di NFABD House.

Justeru melalui kursus berkenaan, beliau menjelaskan bahawa FIFA ingin mendidik ahli EXCO NFABD terhadap peranan dan tanggungjawab mereka masing-masing bersesuaian dengan Perlembagaan FIFA dan Perlembagaan NFABD.

“Dalam dunia bola sepak, sentiasa banyak tugasan yang perlu dilakukan, begitu juga dengan NFABD. Tiada satu saiz untuk semua orang tetapi apa yang paling penting adalah untuk memastikan segala yang dilakukan adalah menurut dasar yang telah diberikan garis panduannya oleh FIFA,” ujarnya.

“FIFA akan terus memberikan bantuan yang diperlukan NFABD dalam usahanya untuk maju dalam segala sudut, dengan kunjungan FIFA seumpama ini bukannya berlaku sekali ini sahaja, akan tetapi disusuli dengan beberapa siri misi di masa akan datang,” katanya lagi sebelum mengakhiri perbualan.

ARTIKEL YANG SAMA