FIFA umum pembaharuan, pelan lapan perkara

FIFA umum pembaharuan, pelan lapan perkara

LONDON, 11 Sept (Reuters) – Satu set pembaharuan menyeluruh dan radikal untuk badan bola sepak dunia FIFA diumumkan semalam tetapi masih tidak jelas sama ada ia akan membabitkan pengundian.

Domenico Scala, ketua bebas Jawatankuasa Audit dan Pematuhan FIFA mengumumkan pelan lapan perkara untuk mengubah cara FIFA ditadbir ekoran penahanan tujuh pegawai bola sepak dan eksekutif pemasaran di Zurich pada Mei.

Pelan itu termasuk had penggal 12 tahun untuk pegawai FIFA yang dipilih daripada jawatan presiden, pendedahan sepenuhnya bayaran pampasan kewangan presiden, setiausaha agung dan anggota jawatankuasa eksekutif dan pemeriksaan integriti yang lebih terperinci ke atas anggota jawatankuasa.

Cadangan Scala juga termasuk mengganti jawatankuasa eksekutif dengan majlis pentadbir, dipilih oleh kongres, dan satu jawatankuasa pengurusan untuk mengendali hal ehwal harian persatuan.

“Proses pembaharuan di FIFA adalah penting kepada masa depan persatuan dan ia mesti berpandukan perbincangan awam kesemua idea pembaharuan,” kata Scala.

“Saya berasa gembira untuk menyumbang pelan terperinci saya kepada proses ini, yang mesti bersifat menyeluruh dan mudah difahami untuk menjamin kredibilitinya.”

Bagaimanapun, pelan menghadapi beberapa halangan sebelum menjadi kenyataan – penubuhan Jawatankuasa Pembaharuan FIFA baru-baru ini, diketuai oleh bekas ketua pengarah IOC Francois Carrard dan dikawal oleh enam gabungan serantau, memburukkan lagi keadaan dan mereka boleh memilih untuk melembutkannya atau tidak menghiraukan cadangan Scala.

Pada minggu lalu, Scala membentangkan pelannya kepada jawatankuasa Carrard tetapi perlu tengok dulu sama ada mereka dimasukkan dalam cadangan akhir badan tersebut.