FIFA umum penajaan bersama syarikat China

FIFA umum penajaan bersama syarikat China

ZURICH, 20 Mac (Reuters) – Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino menegaskan angin perubahan sedang melanda badan induk itu yang sebelum ini dipalit skandal rasuah apabila mengumumkan perjanjian penajaan bersama sebuah syarikat China, Wanda Group, hari ini.

Perjanjian yang akan berakhir pada 2030 itu termasuk penganjuran empat kempen Piala Dunia hadir sehari selepas badan induk itu mengumumkan kerugian sebanyak AS$122 juta (RM494.2 juta) untuk tahun 2015 – kerugian pertama sejak 2002.

Perjanjian penajaan itu dijangka mampu membantu Infantino yang dipilih bagi menggantikan Sepp Blatter memenuhi janjinya yang mahu memberikan dana lebih baik kepada 209 ahli badan induk berkenaan ketika kempen pemilihan.

FIFA berada dalam situasi gawat tahun lalu dengan siasatan dijalankan pihak berkuasa Amerika Syarikat dan Switzerland ke atas badan induk itu yang turut menyaksikan berpuluh-puluh bekas pegawainya didakwa.

Blatter digantung oleh Jawatankuasa Etika FIFA selama enam tahun selepas didapati bersalah terbabit dengan skandal rasuah.

“Saya tidak boleh mengubah apa yang sudah berlaku tetapi saya boleh mempengaruhi masa depan dan memastikan kami boleh berdepan sebarang cabaran,” kata Infantino selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif pertamanya.

Wanda Group iaitu syarikat hartanah komersial terbesar di China tahun lalu membeli sebanyak 20 peratus pegangan saham dalam kelab Sepanyol, Atletico Madrid dan anak saudara Blatter, Philippe Blatter adalah Ketua Pegawai Eksekutif anak syarikat berkenaan, Wanda Sports Holding.

Menurut sumber yang rapat dengan perjanjian itu, penajaan yang diberikan Wanda adalah ratusan juta dolar AS.

ARTIKEL YANG SAMA