Figuerdo mengaku menerima rasuah

Figuerdo mengaku menerima rasuah

MONTEVIDEO, 27 Dis – Bekas ketua badan bola sepak Amerika Selatan CONMEBOL Eugenio Figueredo mengaku dia menerima rasuah daripada firma televisyen sebagai balasan untuk mengekal hak media, kata seorang peguam yang terbabit dalam kes di Uruguay semalam.

CONMEBOL, kumpulan berpengaruh yang termasuk kuasa bola sepak tradisional seperti Brazil dan Argentina, terlibat dalam siasatan rasuah bola sepak seluruh dunia yang dipimpin oleh Biro Siasatan Persekutuan AS.

Figueredo tiba di negara asal Uruguay pada Khamis selepas dihantar pulang atas dakwaan rasuah dari Switzerland, di mana dia ditahan pada Mei.

Pada Jumaat, bekas naib presiden persekutuan bola sepak dunia FIFA berusia 83 tahun itu dipindah ke hospital dari penjara disebabkan sakit dada.

Pablo Barreiro, peguam yang mewakili kesatuan bola sepak Uruguay yang mengemukakan dakwaan rasuah ke atas Figueredo pada 2013, berkata dia telah mengaku ketua pelbagai persatuan bola sepak Amerika Selatan menerima sejumlah wang sebagai tukaran kepada hak media untuk kejohanan.

“Ia adalah aliran wang yang dipercayai pendakwa merupakan pembersihan wang dan penipuan,” kata Barreiro.

Peguam Figueredo sendiri tidak dapat dihubungi untuk memberi komen.

Daripada 14 pegawai bola sepak dan eksekutif pemasaran sukan yang didakwa di Amerika Syarikat pada Mei disebabkan dakwaan rasuah, penggelapan wang dan penipuan kiriman wang yang melibatkan bayaran berjumlah lebih daripada AS$150 juta, lapan adalah dari Amerika Selatan.

Mereka termasuk dua bekas presiden CONMEBOL, Figueredo dan Nicolas Leoz, serta presiden persekutuan Venezuela Rafael Esquivel, bekas ketua persekutuan Brazil dan tiga eksekutif Argentina dan seorang eksekutif Brazil. – Reuters