Fiji dilanda puting beliung Zena

Fiji dilanda puting beliung Zena

SUVA, Fiji, 6 April – Pihak berkuasa di Fiji mengarahkan orang ramai supaya tinggal di rumah ketika puting beliung tropika melanda destinasi pelancong Pasifik itu hari ini, selepas ribut besar baru-baru ini yang mengorbankan 44 orang.

Puting beliung tropika, Zena dengan pantas bertukar dari tekanan rendah menjadi ribut kuat kategori tiga yang menghampiri pulau utama Vita Levu, menurut Perkhidmatan Meteorologi Fiji.

Ia didahului oleh hujan lebat yang mengakibatkan seorang lelaki disahkan terbunuh dan seorang remaja perempuan dilaporkan hilang ketika banjir kilat yang juga menyekat lebuh raya utama.

Kecemasan terkini ini muncul ketika negara yang mempunyai 900,000 penduduk itu masih berusaha pulih dari landaan puting beliung Winston pada Februari lalu, yang mana 44 orang terbunuh dan 60,000 orang hilang tempat tinggal dan mengakibatkan melumpuhkan infrastruktur.

“Untuk mengekalkan keselamatan dan ketenteraman awam sebelum ketibaan Puting beliung Tropika Zena, semua anggota masyarakat dinasihatkan terus berada di rumah dan melindungi harta benda mereka sehingga maklumat lanjut,” menurut kerajaan, dengan menambah kata polis akan menguatkuasakan perintah berkurung.

Fiji Airways telah membatalkan kebanyakan penerbangan antarabangsa dan sekolah-sekolah ditutup.

Puting beliung ini yang membawa angin 170 kilometer sejam, dijangka melanda pantai selatan Vita Levu awal esok. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA