Fikir secara kreatif

Fikir secara kreatif

Oleh Azlan Othman

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 April – Masyarakat tempatan digesa mencari peluang dan bersedia mengambil risiko serta berfikir secara kreatif mengenai perkara positif yang dapat diperolehi dari situasi masa kini.

Dalam perkembangan semasa ekonomi Negara Brunei Darussalam, negara kini sedang berdepan dengan cabaran berkaitan harga minyak rendah di seluruh dunia, kata Pemangku Menteri Tenaga dan Perindustrian, Dato Paduka Haji Mohd Roselan Haji Mohd Daud (gambar bawah).

Berucap merasmikan Persidangan Setiausaha Eksekutif dan Profesional Pentadbiran (ESAP) ke-5 yang berlangsung di Hotel Star Lodge, Jerudong hari ini, beliau berkata; pekerjaan dan pewujudan kerja adalah berkait rapat dengan cabaran ekonomi ini. Pada masa lalu, pekerjaan mudah didapati, namun pada hari ini, pasaran kerja menjadi lebih terhad.

“Ini akan mengambil masa sebelum usaha kita membangunkan ekonomi membuahkan hasil dalam mewujudkan banyak peluang pekerjaan yang pelbagai yang diperlukan oleh rakyat negara ini.

p01-1_20160427

“Buat masa ini, peluang-peluang adalah terhad, tetapi ia masih ada. Saya ingin menggalakkan anda untuk mencari peluang dan bersedia untuk mengambil risiko serta berfikir secara kreatif mengenai perkara-perkara positif dapat diperolehi dari situasi masa kini,” kata beliau.

Menurut Dato Paduka Haji Mohd Roselan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah beberapa kali menyentuh mengenai betapa pentingnya kita semua berusaha untuk meningkatkan prestasi dan produktiviti.

“Selain itu, kita juga perlu bergerak sebagai satu pasukan untuk mencapai segala matlamat yang disasarkan sama ada dalam sektor awam mahupun sektor swasta.”

Beliau turut menekankan mengenai beberapa inisiatif yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam usaha untuk merangsang ekonomi.

“Dalam aspek Ease of Doing Business, misalnya, Brunei berada ditangga 84 daripada 198 ekonomi, berdasarkan Laporan Menjalankan Perniagaan (Doing Business Report) 2016 oleh Bank Dunia,” katanya.

Dato Paduka Haji Mohd Roselan turut menjelaskan mengenai satu perubahan positif di mana pendaftaran perniagaan kini boleh dilakukan secara dalam talian, siap dalam masa sehari dan perniagaan tersebut terus dibenarkan memulakan operasi berbanding dengan pada masa lalu yang mengambil masa sehingga beberapa bulan.

Kementerian pada masa ini telah meningkatkan tumpuan dan penyelarasan terhadap pembaharuan bagi memudahkan perniagaan dan menarik pelaburan langsung.

Menurut Dato Paduka, kerajaan juga menumpukan kepada pertumbuhan sektor yang berpotensi seperti pelancongan, pertanian dan makanan halal serta pengeksportan.

Kira-kira 60 orang terdiri daripada setiausaha eksekutif dan pentadbir profesional dari sektor awam dan swasta menghadiri persidangan tahun ini dengan tema ‘embracing your new professional power.’

Persidangan selama dua hari itu anjuran syarikat tempatan CONFEX menggalakkan para profesional untuk menerima peranan yang lebih besar dan berpengaruh dalam organisasi di tengah-tengah arus perubahan teknologi dan ketidakstabilan ekonomi global.

ARTIKEL YANG SAMA