Filem jendela budaya

Filem jendela budaya

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Dis – Negara Brunei Darussalam dan Perancis akan terus meningkatkan usaha bagi mengeratkan hubungan persahabatan dan kerjasama erat yang telah dinikmati sekian lama dalam pelbagai aspek termasuk dalam bidang kebudayaan.

Dalam hubungan itu, filem memainkan peranan penting sebagai salah satu usaha ke arah mencapai matlamat berkenaan, ulas Duta Perancis ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Loan Forgeron, ketika berucap pada Perasmian Pesta Filem Perancis 2015 yang berlangsung di The Empire Cineplex, Jerudong, kelmarin.

Beliau menambah bahawa melalui filem, ia dapat menunjukkan terdapat banyak persamaan antara budaya masyarakat Brunei dan Perancis, terutama sekali pada penekanan nilai-nilai kekeluargaan dan makanan.

Hadir selaku tetamu kehormat pada perasmian pesta filem berkenaan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

Semasa majlis perasmian itu, Yang Berhormat Pehin serta para jemputan lainnya berpeluang untuk menyaksikan tayangan filem Perancis bertajuk Haute Cuisine.

Yang Berhormat Pehin dialu-alukan oleh Puan Yang Terutama.
Yang Berhormat Pehin dialu-alukan oleh Puan Yang Terutama.
Yang Berhormat Pehin, Puan Yang Terutama serta para jemputan lain menyaksikan tayangan filem, Haute Cuisine, sebagai pembuka tirai Pesta Filem Perancis 2015.
Yang Berhormat Pehin, Puan Yang Terutama serta para jemputan lain menyaksikan tayangan filem, Haute Cuisine, sebagai pembuka tirai Pesta Filem Perancis 2015.

Pesta filem anjuran Alliance Francaise de Brunei (AF Brunei) dengan sokongan Kedutaan Perancis di Negara Brunei Darussalam dan tajaan Bank Baiduri, Total E&P Borneo BV, Syensal Mediablaze, Bake Culture dan Ximply Chriz itu diadakan selama tiga hari dan berakhir esok (14 Disember).

Ia dihasratkan untuk mempromosikan budaya masyarakat Perancis dan pada masa yang sama, memberikan pendedahan kepada masyarakat tempatan bahawa Perancis dan Brunei mempunyai pelbagai persamaan walaupun jarak kedua-dua negara berlainan dari segi geografi dan sejarah.

Selain itu, pesta berkenaan juga mengetengahkan pelbagai filem Perancis yang menarik iaitu Une Vie deChat, Bande de Fille dan La Famille Belier, yang mana filem-filem itu bukan sahaja menonjolkan keunikan kehidupan masyarakat Perancis tetapi juga memberikan penekanan kepada nilai-nilai kekeluargaan serta keistimewaan makanan dalam kehidupan.

ARTIKEL YANG SAMA