Filem P Ramlee jadi rujukan Mark Adam

Filem P Ramlee jadi rujukan Mark Adam

KUALA LUMPUR – Penyanyi Mark Adam memberitahu dia sering menonton filem-filem lakonan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee untuk dijadikan rujukan dalam mengasah bakat lakonannya.

Mark atau Fikri Mark Adam, 37, berkata, dia tertarik dengan lakonan P. Ramlee kerana setiap filem yang dihasilkan bukan sahaja mempunyai elemen drama tetapi komedi dan muzik.

“Saya kenal filem-filem Allahyarham P. Ramlee sudah lama dan saya memang berulang kali menonton kerana tidak pernah jemu.

“Menerusi filem-filem arahan dan lakonannya saya juga turut mengambil inspirasi kerana terlalu banyak yang boleh saya pelajari daripadanya.

“Ia banyak membantu saya memperbaiki mutu lakonan saya dan beliau adalah idola saya,” katanya.

Mark Adam turut menjayakan telefilem Oh My English!:Road to Jogja.
Mark Adam turut menjayakan telefilem Oh My English!:Road to Jogja.

Mark ditemui pada majlis tayangan perdana telefilem Oh My English!:Road to Jojga yang diadakan di Pavilion. Drama dua bahagian itu menampilkan barisan pelakon seperti Elfira Loy, Randy Pangalila, Jihan Muse, Johan Raja Lawak, Mark Adam, Roax Tan, Mohd. Zhafir Muzani dan Juzztin.

Ia bakal disiarkan pada 3 Disember (bahagian 1) dan 11 Disember (bahagian 2) pada pukul 9 malam di saluran Astro TVIQ, Astro MAYA dan Astro Prima.

Mark memberitahu filem lakonan P. Ramlee yang paling digemarinya adalah Pendekar Bujang Lapok, Ibu Mertuaku, Bujang Lapok dan Madu Tiga.

Kata Mark, karya berkenaan mempunyai kesitimewaan tersendiri dan Mark mengakui telah berulang kali menonton filem tersebut.

“Pertama kali isteri saya memperkenalkan filem P. Ramlee saya sudah terpesona dan terus menjadi peminatnya.

“Karyanya cukup meninggalkan kesan dalam pelbagai cara dan ia kekal relevan untuk ditonton sehingga hari ini,” ujarnya.

Sementara itu, Mark berkata, walaupun dia kini dilihat lebih banyak berlakon dia tidak pernah berhasrat meninggalkan bidang muzik kerana itu adalah keutamaannya.

Kata Mark, lakonan adalah sebahagian daripada bidang seni dan menganggap tidak salah sekiranya dia mencuba mencipta nama sebagai pelakon.

“Alhamdulillah rezeki saya dalam bidang lakonan memang cukup murah dan saya anggap ini sebagai rezeki.

“Saya suka berlakon walaupun masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki dan pada masa sama nyanyian adalah keutamaan saya,” katanya.