Filem pendek ‘Akhir’ tonjol bakat seni tempatan

Filem pendek ‘Akhir’ tonjol bakat seni tempatan

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT – Satu lagi filem pendek berunsur saspen dan seram kini hangat ditayangkan di laman web YouTube, hasil kerjasama di antara Cungkeel Pictures dan The Nostrils Production.

Akhir yang merupakan sebuah filem pendek arahan Aznniel Yunus dan Syukri JR itu adalah hasil tulisan Majdina Yusuf dan dibintangi oleh dua pelakon tempatan iaitu Sa’adah dan SAI yang terkenal melalui lagu beliau berjudul IG yang turut menduduki carta 10 teratas Hits Brunei di Pelangi FM.

Pada dasarnya ia mengisahkan mengenai seorang gadis bernama Lina dilakonkan oleh Sa’adah yang bekerja hingga lewat malam dan ditemani oleh rakan sekerjanya yang dilakonkan oleh SAI.

Selepas melihat perangai pelik rakan sekerja beliau, Lina kemudiannya mendapati bahawa orang yang berada di sampingnya itu sebenarnya adalah makhluk halus yang menyamar sebagai rakan sekerjanya.

“Walaupun plotnya agak mudah tetapi arahan yang baik harus menjadi satu keutamaan,” kata Aznniel dalam temuramah melalui emel.

Poster filem pendek Akhir hasil kerjasama di antara Cungkeel Pictures dan The Nostrils Production.
Poster filem pendek Akhir hasil kerjasama di antara Cungkeel Pictures dan The Nostrils Production.

“Ada kalanya ketika anda membuat penggambaran yang menakutkan ianya mampu menghantui dan mengejutkan seseorang.

“Justeru itu, saya ingin mengekalkan ciri-ciri sinematik tersebut dan mengawal bagaimana setiap adegan mampu memberikan rasa seram yang hebat,” ujar Aznniel dalam menjelaskan lebih lanjut mengenai sesi penggambaran itu.

Beliau turut menyatakan bahawa dari aspek teknikal, sesi penggambaran itu hanya menggunakan 5D Mark III dengan gaya gambar yang rata, tripod dan menggunakan lensa L 24-105mm F/4 serta Sigma 70-200 F / 2.8.

“Manakala, penulisan cerita ini terhad di sekitar lokasi Candas Creative yang mempunyai sebuah pejabat dan dapur namun ia tetap berhasil dalam memberikan sudut pandangan yang istimewa bagi jalan cerita yang menarik walaupun pendek.” jelas pengarah tersebut.

Sekiranya anda berminat untuk menyaksikan filem pendek, Akhir yang merupakan hasil karya seni anak tempatan, sila layaran laman web Youtube dan cari akaun ‘NostrilsProduction’.

ARTIKEL YANG SAMA