Filem pendek tempatan VC ditayangkan di Cannes

Filem pendek tempatan VC ditayangkan di Cannes

Oleh Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Mei – Filem pendek Vanishing Children (VC) arahan Penulis dan Pengarah Filem Pendek Brunei, Awang Abdul Zainidi, ditayangkan di Festival Filem Cannes, Perancis, baru-baru ini, dan telah mendapat maklum balas yang baik daripada pengarah-pengarah filem luar negara.

Semasa Festival De Cannes, Awang Abdul Zainidi telah mewakili Negara Brunei Darussalam bersama negara-negara anggota ASEAN bagi mempromosikan filem masing-masing untuk diperkenalkan kepada peminat-peminat seni filem di Cannes.

Beliau mengongsikan pengalamannya menerusi WhatsApp berkata, antara yang hadir menyaksikan filemnya ialah pengarah-pengarah filem dari luar negara termasuk pengarah-pengarah perfileman dari Kanada dan Perancis.

Menurut Awang Abdul Zainidi, beliau merasa bangga kerana dapat mewakili Brunei mempamerkan filem Brunei buat pertama kalinya dan telah pun mendapat respons yang positif daripada pengarah-pengarah filem luar negara yang menyaksikan filem ‘Vanishing Children’.

Pengarah-pengarah filem dari Kanada dan Perancis berkesempatan menyaksikan filem Abdul Zainidi semasa Festival Filem Cannes baru-baru ini.
Pengarah-pengarah filem dari Kanada dan Perancis berkesempatan menyaksikan filem Abdul Zainidi semasa Festival Filem Cannes baru-baru ini.

Beliau berkata, setelah pengarah-pengarah filem luar negara menyaksikan filemnya, mereka merasa amat kagum dan memuji kecantikan lokasi penggambarannya iaitu di Daerah Tutong dan Jerudong, yang sekali gus dapat menarik perhatian mereka untuk datang ke negara ini. Bahkan, filem fiksyen dokumentari berdurasi 14 minit ini disarankan dibuatkan filem dengan versi panjang, jelasnya.

Di kesempatan itu, beliau ingin menyampaikan penghargaan tahniah dan terima kasih kepada semua artis termasuk pelakon-pelakon tempatan yang menjayakan filem ‘Vanishing Children’ ini dan seterusnya mencipta nama di Festival Filem Cannes.

Beliau berkesempatan bertukar pendapat bersama pengarah-pengarah filem yang mewakili Indonesia.
Beliau berkesempatan bertukar pendapat bersama pengarah-pengarah filem yang mewakili Indonesia.
Awang Abdul Zainidi bangga dapat mewakili Brunei mempromosi filem pendeknya di festival itu.
Awang Abdul Zainidi bangga dapat mewakili Brunei mempromosi filem pendeknya di festival itu.

Ketika ditanya bila waktu yang sesuai untuk menayangkan filem pendek ini di Brunei, beliau sendiri akan memaklumkan nanti iaitu setelah menamatkan pengajian Sarjana Muda dalam bidang seni di Cours Florent di Paris, Ogos ini.

‘Vanishing Children’ ini merupakan filem berbentuk fiksyen dokumentari berdasarkan kisah-kisah benar dan dirakam melalui temu bual bersama orang ramai mengenai orang hilang.

Filem ini pernah terpilih dalam Festival Filem Sci-Fi di London pada tahun 2015, dan seterusnya dibawa ke Festival Filem Cannes, semalam. Ia merupakan festival filem terkenal di dunia yang melibatkan kesemua artis, pelakon dan pengarah filem dari seluruh dunia untuk berkumpul dan menyaksikan filem yang bakal ditayangkan dari seluruh dunia.