Filem tempatan mampu berkembang

Filem tempatan mampu berkembang

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Okt – Industri Perfileman tanah air bagai cendawan tumbuh selepas hujan apabila sebuah lagi filem seram iaitu ‘Ilham Misteri’ dilancarkan minggu lalu terbitan Cinemation Film Production.

Hari ini telah pun masuk hari kelima filem tersebut ditayangkan di pawagam-pawagam terpilih di seluruh negara seperti Times Cineplex di Times Square, Tutong, Kuala Belait dan PSB Dualplex di Seria.

Dalam pada itu juga, para pelakon dan krew-krew penerbitan juga mengadakan jerayawara ke beberapa buah panggung wayang sebagai sesi bertemu peminat sekali gus mempromosikan filem berkenaan.

Pengarah Radio Televisyen Brunei, Haji Muhammad Suffian bin Haji Bungsu ketika majlis pelancaran filem tersebut minggu lepas menyatakan beliau menyaksikan terdapat banyak potensi dalam industri filem tempatan dan berharap syarikat-syarikat produksi akan dapat bekerjasama dan berkongsi idea untuk membangun serta meningkatkan lagi industri perfileman tempatan.

Filem seram itu mengisahkan tentang Izam, seorang penulis skrip muda yang tidak mempercayai akan perkara mistik dicabar untuk menulis skrip di salah sebuah apartmen yang ‘berpenunggu’.

Ilham Misteri dibintangi oleh DJ Aliff dari stesen radio Pelangi FM yang memegang watak utama Izam, DJ Ashraff juga dari Pelangi FM sebagai pelakon tambahan bersama 30 pelakon dan krew tempatan. Filem yang diarahkan oleh Awang Hanidi bin Haji Mahmud memulakan penggambarannya pada tahun 2004 yang dilaksanakan sebagai projek percubaan.

Babak-babak tambahan pula dibuat dan ditulis pada tahun ini sebagai tambahan 25 minit kepada filem asli yang telah pun sedia ada sejak tahun 2004.

Sebelum ini Awang Hanidi telah pun mengarahkan drama bersiri yang tidak asing lagi di RTB di bawah terbitan Hadiyul Studio Production iaitu ‘Catatan Misteri’.

Sesi bertemu peminat seterusnya akan diadakan di Tutong pada 13 Oktober dan Time Square, Berakas pada 15 Oktober.

ARTIKEL YANG SAMA