Filem web khas sempena Tadau Kaamatan

Filem web khas sempena Tadau Kaamatan

KOTA KINABALU, 25 Mei (Bernama) – Petroleum Nasional Berhad (Petronas) hari ini melancarkan filem web khas berjudul ‘Tinungkusan Dahai’ sempena sambutan Tadau Kaamatan tahun ini.

Ketua Pengurusan Jenama Petronas Rizan Ismail berkata web filem itu mengetengahkan kekayaan budaya dan tradisi penduduk Sabah.

“Sejak dua dekad lalu, Petronas secara berterusan menerbitkan kempen pesta mengenai nilai-nilai perpaduan, rasa hormat dan bersyukur. Terdapat nilai teras yang mendefinisikan kita sebagai rakyat Malaysia dan ia terbukti seperti yang ditampilkan dalam semua kempen kami,” kata beliau semasa pelancaran filem web itu di Menara Petronas.

Rizan berkata filem web berdurasi tiga minit itu adalah mengenai kisah Steffy Samuel, seorang wanita Rungus yang berhasrat mewariskan kekayaan budaya dan kemahiran membuat manik kepada anak perempuannya semasa sambutan Kaamatan.

Beliau berkata setiap manik menampilkan kisah-kisah lampau melalui warna, reka bentuk yang menarik serta mewakili rakyat dan budayanya.

“Dengan pelancaran filem web Tadau Kaamatan, kami berharap memaparkan keunikan festival ini dan memberi gambaran tentang masa lampau kami tatkala terus berusaha untuk masa depan yang lebih baik,” katanya.

Penonton boleh melayari saluran rasmi jenama di www.petronasofficial.com untuk menonton filem web Kaamatan bermula 22 Mei ini sementara ringkasannya dalam komersial televisyen selama 60 saat akan disiarkan bermula 9 Jun.