Filipina bakal bangkitkan isu LCS di Sidang Kemuncak ASEAN-AS

Filipina bakal bangkitkan isu LCS di Sidang Kemuncak ASEAN-AS

MANILA, 14 Feb – Keselamatan maritim dan pertikaian Laut China Selatan (LCS) akan mnejadi agenda utama Presiden Filipina Beningno Aquino pada sidang kemuncak negara-negara Asia Tenggara dan Amerika Syarikat, kata jurucakapnya hari ini.

Aquino akan menggunakan Sidang Kemuncak ASEAN-AS selama dua hari di Sunnyland, California pada 16-17 Februari bagi menekankan perlunya untuk kebebasan navigasi di lautan dipertikaikan.

“Keselamatan maritim sudah muncul sebagai satu kebimbangan utama kepada ASEAN,” jurucakap presiden Herminio Coloma mengatakan pada malam sebelum pelepasan Aquino ke California bagi menghadiri sidang kemuncak itu.

“Matlamat mencapai integrasi ekonomi ASEAN…mungkin boleh diperluaskan melalui kegiatan perdagangan aktif yang sepatutnya dijamin oleh kebebasan navigasi di laluan navigasi utama perdagangan dan perniagaan global termasuk Laut China Selatan,” tambahnya.

Menurut Coloma, satu persediaan tidak rasmi sidang kemuncak itu akan membolehkan pemimpin bebas membincangkan isu menjejaskan rantau termasuk ekonomi, politik dan hubungan sosial antara 10 negara anggota.

Aquino akan ditemani oleh Menteri Luar Albert Del Rosario yang akan berundur pada Mac atas alasan kesihatan. Filipina sudah pun terkunci dalam perbalahan dengan China atas wilayah dipertikai di Laut China Selatan yang Beijing tuntut hampir keseluruhannya.

Manila sudah pun memfailkan kes perantaraan mempersoalkan tuntutan China itu di Tribunal PBB, namun Beijing enggan menyertai prosiding.

Selain China dan Filipina, Brunei, Malaysia, Taiwan dan Vietnam juga mempunyai tuntutan bertindi ke atas Laut China Selatan, satu laluan perkapalan penting dipercayai kaya dalam sumber mineral dan marin. – dpa

ARTIKEL YANG SAMA