Filipina batal penerbangan, arah hospital siap sedia

Filipina batal penerbangan, arah hospital siap sedia

MANILA, 25 Okt (AFP) – Filipina telah membatalkan beberapa penerbangan dan memberitahu hospital-hospital dalam keadaan berjaga-jaga hari ini, ketika pulau-pulau tengah dan selatan ditutupi jerebu tebal akibat kebakaran hutan Indonesia.

Asbut daripada pembakaran hutan Indonesia telah melemaskan Asia Tenggara selama berminggu-minggu, membunuh sekitar 10 orang, memaksa pelbagai kegiatan dibatalkan dan sekolah-sekolah ditutup di seluruh rantau.

Usaha antarabangsa untuk memadam kebakaran hanya berkesan sedikit sahaja dan pihak berkuasa Filipina memberi amaran paras abu menjadi lebih berbahaya di pulau-pulau selatan.

“Jabatan kesihatan menasihatkan mereka yang mempunyai masalah bernafas atau penyakit berkaitan pernafasan untuk sentiasa memakai penutup muka di kawasan-kawasan yang diselubungi jerebu,” kata jurucakap presiden, Herminio Coloma memberitahu para wartawan.

Hospital-hospital di selatan sudah bersedia menerima sesiapa yang terjejas akibat jerebu, tambahnya.

Enam penerbangan ke pulau-pulau tengah dan selatan telah dibatalkan atau ditangguhkan hari ini akibat asbut tebal, selepas beribu-ribu terkandas selama 10 hari lalu.

Juruterbang di tengah bandar Cebu hanya boleh melihat lapan kilometer (lima batu) di hadapan, menurut pemerhati kaji cuaca kerajaan, John Agbay, menambah yang darjah penglihatan juga kurang jelas di barat pulau Palawan.

Kebakaran hutan Indonesia sering berlaku setiap tahun, namun cuaca kering telah menjadikan ia bertambah buruk lagi tahun ini dan Malaysia, Singapura, Australia dan Jepun telah menghantar bantuan untuk menangani kebakaran tersebut.

ARTIKEL YANG SAMA