Filipina berusaha rampas semula aset Janet

Filipina berusaha rampas semula aset Janet

MANILA, 15 Julai – Filipina berkata hari ini ia berusaha mendapatkan balik asset berjumlah $12.5 juta daripada Janet Napoles, seorang ahli perniagaan Filipina di tengah skandal rasuah besar-besaran, tatkala Amerika Syarikat (AS) berusaha merampas hartanya.

Jabatan Keadilan AS memfailkan satu aduan rampasan sivil semalam untuk mengawal aset yang dibeli di AS dengan wang yang dikhaskan untuk pembangunan dan bantuan bencana dalam satu kes yang digelar “komplot kerajaan.”

Mereka termasuk sebuah kondominium Los Angeles, motel berhampiran Disneyland, sebuah Porsche Boxter Napoles yang didakwa dibeli untuk anak perempuannya menggunakan wang bantuan.

Manila sedang membantu rakan sejawatan AS dalam usaha untuk merampas aset tersebut, kata Setiausaha Keadilan Filipina Leila de Lima.

“Apabila mereka berjaya, Manila akan meminta wang berkenaan diserah kepada kami,” beritahu beliau kepada AFP dalam mesej teks.

Aduan difail di Mahkamah Daerah Persekutuan Los Angeles mendakwa Napoles membayar rasuah berjumlah berpuluh juta dolar kepada ahli politik dan pegawai Filipina dari 2004-2012 untuk mendapatkan wang berjumlah $200 juta yang sepatutnya membantu penduduk miskin Filipina.

Persatuan yang dikendalikan oleh Napoles tidak memberikan khidmatnya, dan beliau mengambil wang untuk kegunaan peribadinya sendiri, kata jabatan.

Napoles, yang telahpun dipenjarakan di Filipina kerana menculik sepupunya pada 2014, telahpun didakwa bersama ahli keluarga dalam kes rasuah.

Tiga senator pembangkang telah ditahan dan didakwa berhubung dengan komplot berkenaan.

“AS mempunyai dasar tidak menyimpan sebarang wang dicuri. Kemungkinan besar mereka akan memulangkan kesemua amaun kepada kami,” kata de Lima.

Beliau berkata satu mekanisme yang sama telahpun digunakan selepas seorang jeneral Filipina didapati telah menyimpan berjuta-juta dolar dalam dana tentera di AS pada 2010. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA