Filipina dibadai Koppu, 1 maut

Filipina dibadai Koppu, 1 maut

MANILA, 18 Okt – Seorang remaja maut dihempap pokok ketika Taufan Koppu kuat menumbangkan pokok dan rumah serta mencetuskan tanah runtuh dan banjir di seluruh kawasan Filipina hari ini, memaksa ribuan orang berpindah ke tempat selamat.

Sekitar lapan orang lagi telah dilaporkan hilang dan pasukan tentera dan penyelamat sukarelawan telah dihantar ke wilayah pertanian padi Nueva Ecija, di mana air sungai melimpahi tebingnya dan membanjiri beberapa buah kampung, menurut pihak berkuasa.

“Orang ramai meminta bantuan kerana air banjir semakin meningkat. Para penyelamat tidak dapat mendatangi kawasan itu buat masa sekarang,” kata penolong ketua pertahanan awam, Nigel Lontoc memberitahu AFP.

Rakaman televisyen menunjukkan air sungai bergelora berwarna perang menenggelamkan banyak kediaman dan menghanyutkan timbunan sampah sarap termasuk batang-batang pokok.

Rangkaian ABS-CBN menunjukkan gambar-gambar polis berpakaian biru memegang tali dan meredah air banjir separas dada untuk menyelamatkan para penduduk yang terperangkap.

Seorang kanak-kanak menyorong basikalnya ketika menyeberangi jalan yang dibanjiri di Ineangan, Bambang, Nueva Viscaya selepas sungai Magat melimpah disebabkan hujan bawaan Taufan Koppu. - AFP
Seorang kanak-kanak menyorong basikalnya ketika menyeberangi jalan yang dibanjiri di Ineangan, Bambang, Nueva Viscaya selepas sungai Magat melimpah disebabkan hujan bawaan Taufan Koppu. – AFP

Kerajaan mengatakan lebih 23,000 orang sudah dipindahkan daripada laluan Taufan Koppu, yang juga mengganggu perkhidmatan feri dan penerbangan.

Koppu membadai pantai di bandar nelayan terpencil Casiguran sebelum subuh dan kawasan berhampiran dengan angin kencang sehingga 210 kilometer (130 batu) sejam diikuti hujan lebat selama tujuh jam sebelum bergerak ke kawasan pendalaman.

“Koppu merosakkan bumbung rumah terutama yang diperbuat daripada bahan ringan. Air sungai melimpah dan laluan ke kawasan itu tersekat oleh tiang elektrik dan pokok yang tumbang,” kata Lontoc.

Ia kemudian menyeberangi ke Empangan Pantabangan di bukit kaki selatan Cordillera, banjaran gunung terbesar di negara itu, dengan membawa kelajuan angin 185km sejam.

Sebatang pokok besar tumbang dan menghempap ke sebuah rumah di Manila, membunuh seorang budak lelaki berusia 14 tahun dan mencederakan empat yang lain, kata Majlis Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan Alexander Pama memberitahu para wartawan di Manila. – AFP