Filipina gesa Beijing hormati keputusan

Filipina gesa Beijing hormati keputusan

MANILA, 14 Julai – Filipina menggesa Beijing hari ini supaya menghormati keputusan tribunal antarabangsa yang menolak tuntutan China ke atas kebanyakan Laut China Selatan, memburukkan lagi perbalahan yang telah menimbulkan prospek konflik.

China bertindak marah dengan keputusan oleh tribunal yang disokong PBB pada Selasa, menegaskan ia tidak akan menghiraukan keputusan tersebut sementara mengingatkan pesaingnya bahawa terlalu banyak tekanan ke atas isu berkenaan mungkin menukar jalan air strategik dan kaya dengan sumber itu kepada ‘tempat bermulanya peperangan’.

Filipina, yang melancarkan cabaran perundangan itu, pada mulanya mengelak daripada meminta China supaya mematuhi keputusan itu. Ia menyusuli arahan Presiden Rodrigo Duterte untuk mencapai ‘perdamaian’ dengan negara jiran yang lebih berpengaruh di Asia.

Namun Manila memperketat dasarnya pada hari ini dengan satu kenyataan membutirkan dasar utama Setiausaha Luar Perfecto Yasay apabila beliau menghadiri sidang kemuncak Asia-Eropah, dikenali sebagai ASEM, di Mongolia pada minggu ini bersama Perdana Menteri China Li Keqiang.

“Setiausaha Yasay akan membincangkan dalam konteks agenda ASEM pendekatan Filipina yang bersifat aman dan berasaskan peraturan mengenai Laut China Selatan dan keperluan untuk parti menghormati keputusan terbaru,” kata jabatan hal ehwal luar negeri dalam satu kenyataan.

Gambar yang diambil pada 13 Julai menunjukkan anggota polis separa tentera berdiri mengawal di Medan Tiananmen Beijing, berhampiran potret mendiang ketua komunis Mao Zedong. Filipina menggesa Beijing pada 14 Julai untuk menghormati keputusan tribunal antarabangsa. – AFP
Gambar yang diambil pada 13 Julai menunjukkan anggota polis separa tentera berdiri mengawal di Medan Tiananmen Beijing, berhampiran potret mendiang ketua komunis Mao Zedong. Filipina menggesa Beijing pada 14 Julai untuk menghormati keputusan tribunal antarabangsa. – AFP

Mengemukakan isu tersebut pada sidang kemuncak dua hari yang bermula pada Jumaat akan menimbulkan kemarahan China, yang telah lama melenting pada usaha Filipina untuk membincangkan perbalahan pada acara berbilang pihak.

Penolong menteri luar China Kong Xuanyou menegaskan pada Isnin sidang kemuncak ASEM bukan ‘satu tempat yang sesuai’ untuk membincangkan Laut China Selatan.

Namun China nampaknya berada dalam kumpulan minoriti – Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe juga berkata hari ini ketika beliau berlepas ke Mongolia bahawa beliau mahu membincang isu Laut China Selatan pada sidang kemuncak.

China menuntut hampir kesemua laut – yang mempunyai kepentingan besar kepada tentera dan di mana perniagaan perkapalan bernilai AS$5 trilion melaluinya setiap tahun – malah perairan yang menghampiri pantai Filipina dan dan negara Asia Tenggara lain.

China menjustifikasikan tuntutannya dengan berkata ia adalah negara pertama yang telah menemui, menamakan dan mengeksploitasi laut tersebut, dan melakarkan garis bentuk wilayah menggunakan satu peta yang tidak jelas yang terdiri daripada sembilan sengkang yang wujud pada 1940. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA