Filipina ikrar bantu mangsa Taufan Haiyan

Filipina ikrar bantu mangsa Taufan Haiyan

MANILA, 2 Ogos (AFP) – Filipina hari ini berikrar akan mengambil tindakan seterusnya untuk membantu mereka yang berpindah tempat akibat Taufan Haiyan dalam tahun 2013, ekoran kritikan PBB bahawa respons kerajaan setakat ini ‘tidak mencukupi’.

Jurucakap Presiden Benigno, Herminio Coloma berkata kerajaan bukan hanya cuba mencari perumahan baru bagi mereka yang berpindah tempat akibat taufan itu yang paling kuat pernah dicatatkan melanda, tetapi juga berusaha memastikan mereka akan dipindahkan ke tempat lebih selamat.

“Ini adalah komitmen kami, kerajaan akan meneruskan usahanya membantu mereka-mereka yang berpindah tempat dalam negara, terutamanya berhubung membina perumahan kekal, selamat dan memuaskan,” dia memberitahu para pemberita.

“Selain itu, kami berharap akan membantu mereka mencari punca pendapatan sesuai dan pekerjaan supaya mereka boleh seterusnya pulih daripada bencana,” tambah Coloma lagi.

Kenyataannya dibuat selepas pelapor khas PBB Chaloka Beyani berkata kerajaan tidak cukup berusaha bagi mereka yang tidak mempunyai tempat tinggal akibat Haiyan, yang memusnahkan keseluruhan bandar dan mengakibatkan 7,330 terkorban atau hilang apabila ia melanda tengah Filipina pada November 2013.

Kira-kira 2,000 buah keluarga terpaksa berpindah ke khemah pemindahan dengan kebanyakan mereka tinggal di rumah kecil, kerap tanpa bekalan elektrik atau air, menurut laporan itu dan pegawai-pegawai kebajikan.

Coloma berkata dalam belanjawan 2016, kerajaan telah memperuntukkan lebih banyak wang untuk membina komuniti baru bagi mereka yang terjejas oleh Haiyan dan juga yang berpindah tempat akibat pertempuran dengan pemberontak Islam di selatan.

Dia tidak menyatakan jumlah wang diperuntukkan untuk para mangsa Haiyan.

Presiden Benigno Aquino telah memperuntukkan 160 bilion peso bagi pembinaan semula selepas Haiyan yang dianggap sebagai salah satu ujian besar bagi penggal beliau selama enam tahun yang akan berakhir bulan Jun tahun depan.

ARTIKEL YANG SAMA