Filipina, Komunis lucut senjata, usaha untuk capai perdamaian

Filipina, Komunis lucut senjata, usaha untuk capai perdamaian

OSLO, 26 Ogos – Kerajaan Filipina dan gerila komunis hari ini menandatangani perjanjian gencatan senjata tanpa batasan bagi memudahkan rundingan damai yang bertujuan untuk menamatkan satu pemberontakan yang paling lama berlaku di Asia.

“Ini merupakan satu acara yang bersejarah dan tidak pernah berlaku … (tetapi) masih terdapat banyak kerja yang perlu dilakukan,” penasihat keamanan Presiden Rodrigo Duterte, Jesus Dureza, berkata pada majlis menandatangani perjanjian di Norway, yang juga menjadi orang tengah dalam rundingan tersebut.

Kedua-dua pihak bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata tanpa batasan – sesuatu yang tidak pernah dicapai sebelum ini dalam proses perdamaian.

Menteri Luar Norway Borge Brende menyifatkan perjanjian itu sebagai ‘kejayaan besar.’ “Kami sedang berusaha untuk mencapai keamanan yang mengambil masa maksimum 12 bulan,” Silvestre Bello, ketua rundingan delegasi kerajaan Filipina ketika memberitahu AFP.

Dureza (kiri) dan Pengerusi Barisan Nasional Demokratik Filipina, Luis Jalandori (kanan), berjabat tangan di depan Menteri Luar Norway Boerge Brende selepas menandatangani deklarasi bersama antara kedua-dua pihak di Olso, Norway, semalam. – AFP
Dureza (kiri) dan Pengerusi Barisan Nasional Demokratik Filipina, Luis Jalandori (kanan), berjabat tangan di depan Menteri Luar Norway Boerge Brende selepas menandatangani deklarasi bersama antara kedua-dua pihak di Olso, Norway, semalam. – AFP

Kedua-dua pihak telah bertemu di Oslo sejak Isnin, menamatkan rundingan mereka dengan majlis penandatangan perjanjian itu hari ini. Sebagai permulaan kepada rundingan, kedua-dua pihak bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata, tetapi komitmen gencatan senjata bagi pihak Komunis akan dapat dilaksanakan pada Sabtu.

Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk “mempercepatkan proses perdamaian dan mencapai perjanjian besar yang pertama pada pembaharuan ekonomi dan sosial dalam tempoh enam bulan,” kata satu kenyataan daripada Kementerian Luar Norway. – AFP