Filipina lapor kes kehamilan pertama Zika

Filipina lapor kes kehamilan pertama Zika

MANILA, 26 Sept – Filipina hari ini melaporkan kes pertama wanita hamil dijangkiti virus Zika yang mengancam anak damit yang belum lahir, ketika pihak berkuasa memberi amaran kepada orang ramai untuk mengelak gigitan nyamuk.

Setiausaha Kesihatan Paulyn Ubial mengatakan 12 kes Zika sudah dikesan di seluruh Filipina bulan ini, termasuk seorang wanita berusia 22 tahun dari pulau tengah Cebu yang hamil anak pertama berusia 19 minggu.

“Ujian ultrabunyi awal tidak mengesan sebarang kecacatan fetus. Dia bagaimanapun akan dipantau selalu sepanjang tempoh kehamilannya,” menurut jabatan kesihatan.

Wanita hamil dijangkiti Zika boleh melahirkan anak damit mikrosefali, dengan kepala dan otak kecil abnormal.

Daripada 12 kes Zika negara itu, lapan terdiri daripada wanita berusia dalam kalangan sembilan tahun hingga 55 tahun, menurut jabatan itu. Tidak satu pun yang dijangkiti itu pernah membuat perjalanan ke luar negara sebelum diuji positif dan semuanya sudah pun pulih semenjak itu, katanya.

Pasukan khas sudah pun dikerahkan ke kawasan terjejas bagi menyiasat dari mana punca jangkitan dan merekomenkan langkah-langkah untuk menangani virus yang boleh disebarkan melalui gigitan nyamuk atau hubungan seksual.

Ubial menyeru orang awam untuk memusnahkan tempat-tempat pembiakan nyamuk, menggunakan ubat nyamuk dan kondom semasa mengadakan hubungan kelamin.

Saintis bulan ini memberi amaran kepada dunia agar bersedia bagi satu ‘epidemik global’ mikrosefali akibat Zika memandangkan tiada penawar atau vaksin bagi penyakit itu. – AFP