Filipina lelong barangan kemas Imelda Marcos

Filipina lelong barangan kemas Imelda Marcos

MANILA, 15 Feb – Filipina akan melelong barangan kemas dirampas daripada bekas wanita pertama Imelda Marcos yang dianggarkan bernilai 1 bilion peso (AS$21.27 juta), menurut sebuah agensi kerajaan hari ini.

Jualan barangan kemas itu diluluskan minggu lalu oleh Majlis Penswastaan antara agensi, menurut Suruhanjaya Presiden mengenai Pentadbiran Baik (PCGG).

“Kami berharap rakyat Filipina akhirnya akan memperoleh manfaat daripada hasil koleksi itu,” Pengerusi PCGG, Richard Amurao menyatakan dalam satu kenyataan.

“Barangan kemas dirampas daripada keluarga Marcos masih menjadi satu manifestasi keutamaan yang disalahgunakan pemerintahan Marcos semasa pentadbirannya,” tambahnya.

Suruhanjaya itu ditubuhkan selepas penyingkiran bekas diktator Ferdinand Marcos untuk mendapatkan semula aset yang dicuri oleh keluarga dan rakan-rakannya.Tiada tarikh ditetapkan bagi pelelongan antarabangsa.

Rumah lelongan Christie’s dan Sotheby’s memuji tiga set barangan kemas dirampas daripada Imelda Marcos dalam November. “Nilai semua tiga koleksi itu kini sama jumlah dengan anggaran 1 bilion peso,” kata PCGG dalam kenyataan.

Barangan itu termasuklah berlian merah jambu luar biasa 25 karat, sejumlah rantai, kerongsong dan mahkota dibuat daripada batu delima Burma, berlian lain dari India dan Afrika Selatan dan batu Zamrud dari Colombia dalam pelbagai saiz.

Beberapa kepingan barangan kemas juga diperbuat oleh pembuat barangan kemas antarabangsa terkenal seperti Bulgari, Van Cleef and Arpels, dan Bucellati serta jam tangan daripada Patek Phippe, Rolex dan Cartier.

Amurao mengatakan PCGG merancang untuk mengadakan pameran koleksi barangan kemas itu sebelum lelongan antarabangsanya untuk mengingatkan rakyat Filipina mengenai pembaziran zaman pemerintahan Marcos.

Ferdinand Marcos memerintah selama 20 tahun sehingga dia dan keluarganya dipaksa hidup dalam buangan selepas kebangkitan besar-besaran empat hari dalam Februari 1986.

Ahli keluarganya masih lagi berhadapan berpuluh-puluh tuduhan rasuah atas dakwaan mencuri berbilion-bilion dolar daripada perbendaharaan negara. –dpa

ARTIKEL YANG SAMA