Filipina mahu Malaysia bantu rangsang ekonomi serantau

Filipina mahu Malaysia bantu rangsang ekonomi serantau

MANILA, 24 Julai – Manila berharap Malaysia dapat berkongsi kekayaan ekonomi bersama negara jirannya bagi merangsang pertumbuhan ekonomi serantau.

Perkara itu dinyatakan Setiausaha Jabatan Perdagangan dan Industri Filipina, Ramon M. Lopez, dalam pertemuan dengan delegasi misi promosi francais Malaysia yang diketuai Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Ramon berkata banyak perkara yang boleh dipelajari dari Malaysia dalam bidang perdagangan, selari dengan kedudukan Malaysia pada tangga ke-18 dalam Indeks ‘Mudah Untuk Menjalankan Perniagaan’ global.

“Kami juga berhasrat mengikut jejak langkah Malaysia dalam memudahcarakan perniagaan bagi memacu pertumbuhan ekonomi positif, sekali gus memperbaiki kedudukan Filipina dalam indeks yang sama,” kata Ramon.

Jika di Malaysia hanya mengambil masa beberapa jam sahaja untuk menyelesaikan proses pendaftaran syarikat, Ramon berkata di Filipina pada masa ini, proses keseluruhan akan mengambil masa sehingga lima hari. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA