Filipina periksa kapal Korea U

Filipina periksa kapal Korea U

MANILA, 4 Mac (AFP) – Pihak berkuasa Filipina berkata hari ini mereka telah memeriksa sebuah kapal Korea Utara dalam masa beberapa jam selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengarah pemeriksaan kargo sebagai sebahagian daripada sekatan baru terhadap program nuklear Pyongyang.

Satu kumpulan pemeriksaan dengan anjing pengesan bom mengawal kapal kargo Jin Teng di pelabuhan Subic semalam selepas ia diletak dalam ‘senarai pengawasan’ oleh ibu pejabat mereka, komander pengawal pantai tempatan Raul Belesario memberitahu kepada AFP.

Pemeriksaan kapal seberat 6,830 tan itu diadakan selepas resolusi Majlis Keselamatan PBB diluluskan pada pagi semalam, waktu tempatan, mewajibkan semua negara memeriksa kargo yang datang dari dan pergi ke Korea Utara.

Ia juga mengharamkan atau menghad eksport arang batu, besi, bijih besi dan galian lain dari Korea Utara, dan melarang bekalan minyak penerbangan, termasuk untuk roket. Belesario berkata pemeriksa tidak mengesan apa-apa yang menyalahi undang-undang di dalam bot, yang membawa isi kelapa sawit, namun ia akan diperiksa sekali lagi sebelum ia bertolak dari pelabuhan, kira-kira 80 kilometer dari utara Manila. Beliau berkata beliau tidak tahu bila ia akan bertolak.

Belesario enggan berkata kenapa kapal itu diletak dalam senarai pengawasan. Jurucakap pengawal pantai negara di Manila dan jurucakap kementerian hal ehwal luar enggan memberikan butir lanjut. Namun Belesario berkata senarai pengawasan itu mencetuskan tindakan berkenaan.

“Menurut garis panduan kami, kapal yang diletak dalam senarai pengawasan memerlukan pemeriksaan menyeluruh,” kata Belesario. Ketika diminta memberi komen mengenai tindakan Filpina, Kim Song-Jin, setiausaha pertama untuk kedutaan Korea Utara di Thailand memberitahu AFP: “Kami sedang memantau keadaan berkenaan.”

Kedutaan juga mewakili kepentingan Korea Utara di Filipina. Jin Teng dimiliki dan diuruskan oleh sebuah syarikat yang berpangkalan di Hong Kong bernama Golden Soar Development, menurut laman web pengawas perkapalan. Resolusi PBB diluluskan pada malam Rabu di New York, iaitu pagi Khamis di Filipina, selepas Korea Utara melancarkan ujian nuklear dan pelancaran roket keempatnya.

ARTIKEL YANG SAMA