Filipina: Pertahanan dikukuhkan di bawah perjanjian giliran AS

Filipina: Pertahanan dikukuhkan di bawah perjanjian giliran AS

MANILA, 20 Mac (AFP) – Filipina hari ini memuji satu perjanjian baru yang memberikan tentera AS akses kepada lima daripada pangkalannya, mengatakan ia akan mengukuhkan keupayaan pertahanan dan keselamatan maritim.

Perjanjian antara kedua-dua sekutu rapat itu dimeterai ketika Filipina dna beberapa buah negara lain terkunci dalam pertikaian tegang dengan China atas tuntutan wilayah bertikai di Laut China Selatan. Di bawah perjanjian itu, angkatan tentera AS akan dapat menempatkan angkatannya dalam penggiliran di lima buah pangkalan tentera Filipina termasuk yang hampir dengan Laut China Selatan.

“Lima buah lokasi dipersetujui…mengesahkan semula komitmen dikongsi Filipina dan AS untuk mengukuhkan persepakatan mereka dalam cara menjamin pertahanan dan keselamatan bersama kedua-dua buah negara,” jurucakap Jabatan Luar Charles Jose menjelaskan dalam satu kenyataan.

Jurucakap Jabatan Pertahanan Peter Galvez mengatakan secara berasingan perjanjian ‘akan meluaskan lagi keupayaan kami’ dalam bantuan keselamatan dan bencana maritim.

Pegawai Filipina dan AS bermesyuarat di Washington pada Jumaat mengumumkan bahawa mereka bersetuju untuk menggilirkan kakitangan tentera AS di bawah Perjanjian Lanjutan Kerjasama Pertahanan yang berkuat kuasa Januari lalu. Salah satu daripada kemudahan itu ialah Pangkalan Udara Antonio Bautista di barat pulau Palawan, Fillipina, berhadapan secara langsung dengan Laut China Selatan.

Sebuah lagi pangkalan udara itu ialah Pangkalan Udara Basa di utara Manila, kediaman bagi sayap pejuang Filipina, yang juga hampir dengan perairan dipertikai.

China secara langsung menuntut semua Laut China Selatan, di sebalik tuntutan bertindih dengan Brunei, Malaysia, Vietnam, Taiwan dan Filipina. Ia sudah menekankan tuntutan itu dengan menduduki lebih banyak terumbu dan Singkapan granit di perairan itu, dan membina pulau palsu termasuk landasan lapangan terbang di beberapa buah pulau itu.

ARTIKEL YANG SAMA