Filipina sahkan kes MERS kedua

Filipina sahkan kes MERS kedua

MANILA, 6 Julai (AFP) – Seorang warganegara asing yang terbang ke Filipina dari Timur Tengah telah disahkan menjadi kes kedua dijangkiti MERS di negara itu, menurut jabatan kesihatan hari ini, ketika penularan membawa maut itu tersebar di Korea Selatan mencetuskan kewaspadaan di seluruh Asia.

Pesakit lelaki berusia 36 tahun itu, yang warganegaranya tidak didedahkan telah diasingkan di sebuah kemudahan kerajaan untuk membanteras virus berkenaan, menurut Setiausaha Kesihatan, Janette Garin.

“Dia kelihatannya sudah sembuh,” Garin memberitahu sidang akhbar, menambah lelaki itu hanya dijangkiti ‘beban virus rendah’ menunjukkan jangkitan itu tidak terlalu serius.

“Tidak ada sebab untuk panik dan kami merayu kepada orang awam untuk menghormati privasi pesakit berkenaan.”

Lelaki itu jatuh sakit pada 2 Julai, setelah tiba di negara itu dari Arab Saudi melalui Dubai, menurutnya, enggan memberi butiran lanjut.

Seorang wanita merupakan jururawat Filipina yang kembali dari Arab Saudi pada Februari lalu telah menjadi orang pertama di Filipina yang diuji positif dijangkiti MERS, namun sejak itu dia sudah mulai sembuh.

Walaupun Garin menekankan bahawa tidak ada kes jangkitan MERS melalui sentuhan kasual di Filipina, jabatan kesihatan sedang mengesan orang yang mungkin telah berdampingan dengan pesakit tersebut.

Mereka termasuk semua yang berada dalam pesawat yang sama, bersama lelaki yang dijangkiti itu, kata Garin.

Di Korea Selatan, yang mengalami penularan terburuk MERS luar Arab Saudi telah mencatatkan seramai 185 orang didiagnosis dengan penyakit itu dan mengorbankan 33 orang, menurut kerajaan di sana.

Daripada yang dijangkiti itu, 41 masih lagi dirawat di hospital, dengan 11 dalam keadaan kritikal.

Jabatan kesihatan Filipina telah mengambil langkah berwaspada dalam beberapa minggu kebelakangan bagi kemungkinan kemasukan virus berkenaan yang menyebabkan Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS), terutamanya di kalangan 88,000 warga Korea Selatan yang tinggal di negara itu.