Filipina sahkan tawanan kedua, warga Kanada dipancung

Filipina sahkan tawanan kedua, warga Kanada dipancung

MANILA, 14 Jun (AFP) – Pihak berkuasa Filipina hari ini mengesahkan bahawa gerila pelampau Islam telah memancung kepala tawanan kedua warga Kanada, ketika mereka mempertahankan ketidakmampuan mereka untuk menyelamatkannya meskipun berbulan-bulan menjalankan pemburuan.

“Kami mengutuk keras pembunuhan kejam dan tidak berperasaan ke atas Robert Hall, seorang warga Kanada, selepas ditangkap oleh kumpulan Abu Sayyaf di Sulu selama sembilan bulan,” kata jurucakap presiden Herminio Coloma dalam satu kenyataan.

Kenyataan daripada pihak tentera juga mengesahkan bahawa kepala yang dipenggal, dipercayai milik Hall, telah ditemui berhampiran gereja pulau Jolo pada malam kelmarin.

“Penemuan itu mengesahkan pemancungan kejam telah dilakukan oleh kumpulan penjenayah ASG (Abu Sayyaf Group) ke atas mangsa culik,” tambah kenyataan itu lagi.

Pada awalnya, Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau mengumumkan kerajaannya mempunyai ‘setiap sebab untuk dipercayai’ bahawa Hall telah dibunuh oleh Abu Sayyaf, tawanan Kanada kedua yang dibunuh tahun ini.

Anggota geng Abu Sayyaf yang terkenal dengan penculikan untuk meminta tebusan telah berkata mereka akan membunuh Hall jika mereka tidak menerima wang tebusan 300 juta peso (AS$6.5 juta) pada petang Isnin.

Hall di antara empat orang yang diculik pada September tahun lepas dari kapal layar di pulau pelancongan Pulau Samal di selatan Filipina.