Final kluster 3 semakin hangat

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Mac – Sekolah Rendah (SR) Perpindahan Lambak Kanan (PLK) Jalan 10 dan SR Dato Othman, masing-masing akan bertemu dalam perlawanan akhir Kejohanan Futsal Sekolah-Sekolah Rendah Kerajaan dan Pendidikan Swasta Kawasan Kluster 3, 2018.

Pada peringkat separuh akhir yang berlangsung hari ini di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, SR PLK Jalan 10 telah berjaya menewaskan SR Pantai Berakas dengan jaringan 3-2 untuk mara ke final, manakala SR Dato Othman berjaya menang dengan mudah 4-0 ke atas SR Mahawangsa.

Seterusnya SR PLK Jalan 10 mengorak langkahnya ke perlawanan final dengan menundukkan SR Bakti Dewa 5-0 pada perlawanan pusingan kedua diikuti dengan kemenangan percuma pada suku akhir.

Pasukan SR Dato Othman (kiri, dua) ketika menentang SR Mahawangsa di peringkat separuh akhir, semalam.

Manakala SR Dato Othman pula berjaya menewaskan SR Dato Basir 3-0, disusuli dengan kemenangan 1-0 ke atas SR Berakas Garison pada suku akhir perlawanan.

Perlawanan penentuan bagi tempat ketiga antara SR Pantai Berakas dengan SR Mahawangsa dan perlawanan akhir antara SR PLK Jalan 10 dan SR Dato Othman akan diadakan esok di tempat yang sama.

Kejohanan ini merupakan aktiviti tahunan yang dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Kokurikulum Kementerian Pendidikan.