Final Piala Davis kekal di Belgium

Final Piala Davis kekal di Belgium

LONDON, 24 Nov (Agensi) – Persaingan Piala Davis akan diteruskan seperti yang dirancang di Ghent hujung minggu ini dengan peningkatan langkah keselamatan terhadap amaran pengganas yang berterusan di Belgium, menurut Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF) semalam.

Selepas penangguhan perjalanan selama sehari, pasukan Britain terbang ke Ghent semalam menjelang persaingan akhir tiga hari menentang Belgium, yang bermula pada Jumaat.

Ghent terletak sekitar 56 kilometer dari Brussels, yang berada dalam kewaspadaan tinggi kerana apa yang digelar kerajaan Belgium ancaman “serius dan akan berlaku”.

“ITF dan Persekutuan Tenis Diraja Belgium dalam perundingan bersama pegawai-pegawai berkenaan dan penilaian risiko kami dan penasihat keselamatan, memantau keadaan di Belgium dan terutamanya di Ghent,” kata ITF dalam satu kenyataan.

“Seperti hari ini tidak ada perubahan terhadap masa permulaan yang diterbitkan sebelumnya…kami mengambil setiap langkah untuk memastikan keselamatan pasukan, penonton, media dan semua kakitangan yang bertugas.”

Di antara langkah keselamatan tambahan yang dilaksanakan adalah pengharaman lengkap ke atas semua peminat yang membawa beg ke gelanggang tanah liat dalam dewan, Flanders Expo yang memuatkan 13,000 tempat duduk.

Britain beraksi dalam Piala Davis pertamanya dalam tempoh 37 tahun dan menyasarkan untuk memenangi gelaran pertamanya sejak 1936.