Final Piala Dunia B-20

Final Piala Dunia B-20

AUCKLAND, 19 Jun (AFP) – Brazil membawa kelebihan ketara daripada sudut pengalaman dan rekod luar biasa di bahagian pertahanan pada pertembungan final Piala Dunia Bawah 20 Tahun (B-20) menentang Serbia, di Stadium North Harbour, di sini, esok.

Selain menjadi final kesembilan buat Brazil yang pernah menjuarainya sebanyak lima kali, kemenangan akan menyamai rekod enam kejuaraan dipegang Argentina dengan Serbia buat pertama kali muncul di final.

Bagi Serbia, lawan yang ditemui nanti jelas mempunyai pertahanan terbaik dalam kejohanan apabila kali terakhir gawang Brazil dibocori ialah 502 minit lalu. Begitupun, Serbia juga tidak kurang hebatnya apabila muncul juara kumpulan dengan hanya melepaskan empat gol dalam lima perlawanan ke final.

Jurulatih Serbia, Veljko Paunovic mengakui rekod cemerlang dimiliki Brazil dalam kejohanan terbabit namun berkata: “Ia akan menjadi sesuatu yang menakjubkan untuk mencipta sejarah.”

“Brazil adalah pasukan yang hebat dan mereka mengakhiri kejohanan dengan prestasi terbaik,” kata Paunovic. “Bagi diri kami, tiga perlawanan yang diheret ke masa tambahan perlu diambil kira.

“Namun pemain saya ingin mencipta sejarah di sini dan insentif untuk memenangi trofi akan memberikan mereka tenaga yang diperlukan,” katanya.

Selepas cemerlang di peringkat kumpulan, Brazil seakan hilang sengat di bahagian serangan pada kempen di peringkat 16 terakhir dan suku akhir dengan kedua-dua perlawanan terpaksa ditentukan dengan penentuan penalti.

Sekalipun menang 5-0 pada aksi separuh akhir menewaskan Senegal, mereka seperti mula menekankan corak pertahanan dengan duka yang dilakar pasukan senior pada Piala Dunia 2014 dilihat masih menimbulkan keresahan.

Pemain tengahnya, Gabriel Boschilia yang dijangka memainkan peranan penting pada final nanti berkata, pasukannya sedang berusaha untuk memulihkan reputasi Brazil yang tercalar di Piala Dunia.

“Kami berada di sini untuk memenangi kejohanan ini dan kami bersedia untuk memberikan segala-galanya,” kata Boschilia kepada FIFA.com. “Kami sedang cuba untuk memulihkan imej bola sepak Brazil di sini.”

“Kami mempunyai pemain seperti Pele, Ronaldo dan Ronaldinho dan kini kami adalah generasi seterusnya.”

Sekalipun berlangsung jauh di New Zealand, Piala Dunia remaja tetap merasa tempias akibat skandal rasuah yang menyelubungi badan induk Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Presiden FIFA, Sepp Blatter yang awalnya dijadualkan hadir ke final turut membatalkan rancangannya kerana sedang menyelesaikan urusan di Zurich, Switzerland.