Final Piala Veteran, MOD bertemu Al-Idrus

Final Piala Veteran, MOD bertemu Al-Idrus

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Mei – MOD (Kementerian Pembangunan) akan bertemu Al-Idrus pada final Piala FA Keempat Kejohanan Bolasepak Veteran Kebangsaan DST 2015 setelah berjaya menundukkan Stoneville FC 6-1 dalam aksi separuh akhir kedua petang ini.

Haji Md Subhi Abdillah menyumbangkan empat gol sementara Azmanuddin Haji Gillen dan Haji Hassan Haji Damit masing-masing menjaringkan satu gol dalam perlawanan tertunda dari 19 April lalu itu.

MOD selesa mendahului 4-0 pada separuh masa pertama dengan Haji Md Subhi mencatat hatrik menerusi jaringan-jaringannya pada minit ke-14, ke-25 dan ke-44, sementara Azmanuddin menjaringkan gol kedua MOD pada minit ke-24.

Mengambil tempat di padang bolasepak Kompleks Sukan Jabatan Kerja Raya (JKR), Jalan Airport Lama, Berakas, MOD menambah dua gol lagi menerusi jaringan Haji Md Subhi pada minit ke-53 dan Haji Hassan pada minit ke-66.

Haji Hassan mengawal bola sambil dikawal oleh pertahanan Stoneville FC.
Haji Hassan mengawal bola sambil dikawal oleh pertahanan Stoneville FC.

Stoneville FC mendapat gol sagu hati pada minit ke-79 yang disumbangkan oleh Yaakub Ismail, yang menjadi gol terakhir perlawanan. Lawannya pada perlawanan akhir nanti iaitu Al-Idrus sudah awal layak selepas menang 3-2 ke atas I Team pada 15 April lalu di Kompleks Sukan Berakas.

Jadual asal perlawanan separuh akhir kedua yang ditunda ke petang ini adalah pada petang 19 April yang lalu di Kompleks Sukan Batu Apoi, Temburong, namun keadaan padang yang tidak mengizinkan akibat hujan lebat pada waktu itu telah menyebabkan perlawanan terpaksa ditunda.