FinTech, kadar tabungan tinggi bantu tingkat ekonomi Asia

FinTech, kadar tabungan tinggi bantu tingkat ekonomi Asia

KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) – Gelombang baharu teknologi kewangan (FinTech) ditambah dengan kadar tabungan tinggi di Asia boleh membantu meningkatkan ekonomi rantau ini, kata pemegang amanah Khazanah Research Institute Tan Sri Andrew Sheng.

Beliau berkata FinTech memberikan akses lebih pantas kepada dana dan sebagai pemberi pinjaman bersih, teknologi itu merevolusikan pendekatan kepada perkhidmatan kewangan.

“Gagasan FinTech adalah untuk mengumpulkan modal berasaskan ekuiti bagi golongan muda untuk memulakan perniagaan baharu, serta mewujudkan peluang pekerjaan dan perkhidmatan, yang kelaknya boleh memacu pertumbuhan ekonomi,” katanya kepada pemberita selepas berucap pada pelancaran buku “World In 2050 Publication” di sini, hari ini.

Beliau berkata pembangunan FinTech seperti blockchain (pangkalan data), kecerdasan buatan (AI) dan aplikasi biometrik telah mengembangkan sempadan perbankan.

“Justeru, Malaysia boleh mendapat banyak manfaat daripada FinTech kerana negara memiliki satu daripada kadar tabungan tertinggi (di rantau ini) pada 40 peratus.

“Dengan kadar tabungan tinggi bukan hanya di Malaysia tetapi juga di kebanyakan negara Asia, model perniagaan boleh beralih darupada model berasaskan hutang seperti pinjaman daripada bank kepada model berasaskan ekuiti seperti pengumpulan dana masyarakat.

“Apabila kita banyak menyimpan, ke mana wang itu pergi? ada orang mungkin melabur dalam dolar AS, tetapi jika kita beri peluang kepada golongan muda kita dan melabur dalam syarikat mereka yang baru bermula, mungkin dari sinilah akan bermula transformasi baharu,” katanya.

Sheng berkata peningkatan risiko dan keadaan tidak menentu dalam abad ke-21 daripada geopolitik, teknologi, perubahan iklim dan ketidaksamarataan sosial memerlukan model perniagaan berasaskan ekuiti tinggi, yang jauh berbeza daripada model berasaskan hutang pada abad ke-20.

ARTIKEL YANG SAMA