Fintech platform terbaik perangi jenayah siber

Fintech platform terbaik perangi jenayah siber

KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) – Teknologi kewangan atau FinTech adalah platform terbaik bagi industri untuk memerangi jenayah siber, kata Pengarah Urusan PricewaterhouseCoopers (PwC), Sridharan Nair.

Beliau berkata FinTech akan menyediakan jaminan kepada pengguna dalam melindungi maklumat dan data peribadi mereka serta memastikan perlindungan yang orang lain tidak boleh ceroboh dan mencuri maklumat bernilai.

FinTech adalah jenis perkhidmatan yang disediakan oleh syarikat Internet yang menyelaraskan sistem kewangan dan menjadikan pembiayaan rantaian bekalan lebih cekap.

“Bagi menerapkan FinTech, orang ramai perlu merasa selesa bahawa keselamatan maklumat yang kami sediakan adalah terjamin, selamat dan isu-isu penggodaman dan tapping tidak akan berlaku,” katanya kepada pemberita selepas taklimat mengenai kaji selidik terbaharu syarikat itu hari ini.

Sejajar dengan penggunaan meluas FinTech, Sridharan berkata isu-isu berkaitan dengan keselamatan maklumat dan jenayah siber seperti penggodaman kad kredit, perlu ditangani.

Hampir 80 syarikat Malaysia, terdiri daripada sektor swasta dan awam mewakili 17 industri menyertai kaji selidik Global Economic Crime Survey 2016 itu. Satu pertiga daripada responden adalah syarikat senaraian awam.

Kaji selidik itu mendedahkan keselamatan siber adalah satu lagi isu mendesak dengan 42 peratus organisasi Malaysia menyaksikan peningkatan risiko ancaman siber.

Namun, meskipun pelbagai insiden keselamatan siber profil yang tinggi dibincangkan dengan meluas di media sosial dalam tempoh dua tahun lepas, kaji selidik itu mendedahkan 54 peratus daripada organisasi tidak pasti sama ada mereka berisiko atau sebaliknya.

Kaji selidik itu juga menunjukkan 30 peratus responden berdepan suapan atau rasuah dan satu daripada tiga syarikat percaya mereka kemungkinan akan mengalami jenayah ekonomi dalam tempoh dua tahun akan datang.

ARTIKEL YANG SAMA