Fiorentina, Lazio terlepas mata berharga

Fiorentina, Lazio terlepas mata berharga

MILAN, 7 Feb (AFP) – Bekas penyerang Sunderland, Emanuele Giaccherini menjadi duri dalam daging buat Fiorentina apabila menjaringkan gol penyamaan 1-1 buat Bologna pada aksi Serie A Itali ketika Genoa juga seri tanpa jaringan bertemu Lazio.

Keputusan seri begitupun boleh dianggap baik buat Fiorentina yang beraksi 10 pemain, namun tetap merencatkan peluang kelab dengan jolokan La Viola itu untuk mencabar trofi elit Itali yang kali terakhir dimenangi pada 1969.

Selepas menampilkan prestasi baik pada awal musim, 2016 jelas bukan suatu yang baik buat skuad bimbingan Paulo Sousa dengan keputusan seri menyaksikan kelab itu hanya menang tiga daripada tujuh perlawanan tahun ini.

Begitupun, kelab itu kekal di tangga ketiga liga, ketinggalan 10 mata di belakang Napoli namun boleh jatuh ke tangga keempat jika Inter Milan melakar kemenangan ke atas Verona, malam ini.

Berada di depan menerusi jaringan Federico Bernardeschi pada minit ke-59, Bologna menyamakan kedudukan empat minit kemudian.

Emanuele meraikan kejayaan selepas menjaringkan gol ketika perlawanan bola sepak Itali Serie A antara Bologna menentang Fiorentina di Stadium ‘Renato Dall’Ara’. – AFP
Emanuele meraikan kejayaan selepas menjaringkan gol ketika perlawanan bola sepak Itali Serie A antara Bologna menentang Fiorentina di Stadium ‘Renato Dall’Ara’. – AFP

Fiorentina terpaksa beraksi kurang seorang pemain pada minit ke-57 selepas Matías Fernandez menerima kad kuning kedua.

Penjaga gol Fiorentina, Ciprian Tatarusanu tetap optimis dan percaya pasukan itu mempunyai apa yang diperlukan untuk menamatkan saingan di kedudukan ketiga sekali gus tiket ke Liga Juara-juara.

“Kami mempunyai skuad yang hebat dan kami juga memiliki banyak lagi perlawanan selepas ini jadi kami mempunyai peluang yang baik untuk menamatkan saingan di tempat ketiga,” kata Tatarusanu.

“Apabila situasi menjadi sukar kepada kami, ketika itu kami mempamerkan karektor sebenar namun hari ini amat sukar selepas kami terpaksa bermain 10 pemain,” katanya.

Dalam pada itu, Genoa yang menerima kunjungan Lazio di Luigi Ferraris terus melebarkan kemarau tanpa kemenangan buat tiga perlawanan berturut-turut sekalipun pelawat kehilangan ramai pemain utama pada perlawanan itu.

Antara yang tidak beraksi buat Lazio ialah penyerang, Alessandro Matri, Antonio Candreva, Lucas Biglia, Stefan Radu dan Stefan de Vrij namun tiada apa yang mampu dilakukan Genoa di sebalik kekurangan itu.

Genoa kekal di tangga ke-16 liga, enam mata di luar zon penyingkiran manakala Lazio yang kini gagal untuk menjaringkan gol dalam tiga pertemuan terakhir berada di tangga kesembilan, 20 mata di belakang Napoli.