Fiorentina pecat jurulatih

Fiorentina pecat jurulatih

MILAN, 12 Jun (AFP) – Fiorentina memecat Vincenzo Montella selepas mendakwa jurulatih itu, yang menerajui La Viola ke separuh akhir Liga Europa, tidak menghormati kelab yang telah memberi dia segala-galanya.

Sebelum ini tercetus khabar angin mengenai Montella yang akan meninggalkan Fiorentina untuk menyertai kelab lain dalam Serie A, malah spekulasi yang jurulatih itu akan berehat selama setahun turut tersebar.

Namun, kelab telah mengambil tindakan segera ke atas sikap Montella sendiri yang membiarkan pengurusan Fiorentina dalam kesamaran sejak kebelakangan ini.

“ACF Fiorentina melihat tindak-tanduk ketua jurulatih, Vicenzo Montella sebagai usaha yang cukup jelas untuk keluar daripada kontrak yang ditandatanganinya tidak sampai dua tahun lalu kerana terdapat klausa bahawa dia tidak mempunyai hak terhadap kepentingannya, walaupun bersetuju pada ketika itu.

“Oleh itu, dengan rasa kesal kami ingin menjelaskan bahawa kepercayaan yang diberikan untuk meneruskan hubungan ini telahpun hilang dan, untuk kebaikan kelab, kami tidak mempunyai banyak pilihan selain melepaskan Vincenzo Montella daripada tugasnya,” kata kelab tersebut.

Selepas mengharungi musim selesai di tangga keempat dengan 64 mata, pihak pengurusan kelab masih tidak berpuas hati kerana merasai masih ada ruang untuk La Viola tidak tercicir daripada tempat Liga Juara-Juara musim depan.

Montella dipertanggungjawabkan di atas semua kekurangan itu.

ARTIKEL YANG SAMA