Fiorentina tewaskan Inter 2-1

Fiorentina tewaskan Inter 2-1

MILAN, 15 Feb – Pemain gantian Khouma Babacar meledak gol dalam masa kecederaan untuk memberikan Fiorentina kemenangan 2-1 ke atas Inter, manakala AC Milan turut menang 2-1 ke atas Genoa dalam saingan Serie A Itali, malam tadi.

Kemenangan kontroversi Fiorentina ke atas Inter yang bermain 10 orang melonjak mereka ke tangga ketiga, dua mata di atas Roma dan empat mengatasi Inter.

Milan yang masih berpeluang memburu tempat ke Liga Juara-Juara musim depan, di tangga keenam, enam mata di belakang Fiorentina selepas Keisuke Honda menjaringkan satu gol dan mengumpan gol berikutnya.

Di Florence, Borja Valero memadamkan kelebihan jaringan pembukaan Marcelo Brozovic untuk Inter dan Babacar memastikan kemenangan buat pasukannya hanya seminit selepas dimasukkan, selepas kad kuning kedua dilayangkan kepada pemain Inter, Alex Telles.

“Ia adalah kemenangan yang memberikan kami semangat,” kata Valero. “Ia sentiasa memberikan anda dorongan yang hebat apabila menentang pasukan seperti Inter.

Fiorentina mempamerkan aksi menarik dalam perlawanan itu dan kini menduduki di tangga ketiga liga. – AFP
Fiorentina mempamerkan aksi menarik dalam perlawanan itu dan kini menduduki di tangga ketiga liga. – AFP

“Tetapi kami perlu kekal tenang, kami masih mempunyai banyak perlawanan menanti dan kami akan terus melakukan apa yang kami lakukan sekarang kerana situasi kami cukup baik sekali.

“Pasukan kami tidak pernah berputus asa dan kami sekali lagi membuktikannya hari ini (semalam).”

Penyerang Fiorentina Mauro Zarate dibuang padang dalam masa kecederaan selepas memaut leher Jeison Murillo dari belakang, manakala pemain tengah Inter Geoffrey Kondogbia dilayangkan kad merah selepas wisel penamat kerana menyindir pengadil.

Inter enggan memberikan komen selepas perlawanan. Skuad kendalian Roberto Mancini itu hanya menang sekali sepanjang tujuh perlawanan terakhir Serie A, dan tergelincir dari tangga teratas ke tangga kelima.

Tetangga mereka, Milan sebaliknya mengharungi rekod tanpa kalah kepada tujuh perlawanan – kali pertama melakukannya sejak April 2013.

“Jika kami mengekalkan prestasi ini, kami mampu bersaing untuk tempat ke Liga Juara-Juara,” kata pengendali Milan Sinisa Mihajlovic.

Aksi malam tadi turut menyaksikan Torino menewaskan Palermo 3-1 dengan Ciro Immobile meledak dua kali, Bologna mengatasi Udinese 1-0 hasil jaringan Mattia Destro, dan Sampdoria seri tanpa jaringan menentang Atalanta. – Reuters