Firma AS labur RM400 juta di Perak

Firma AS labur RM400 juta di Perak

SAN FRANCISCO, 19 Feb (Bernama) – Finisar Corporation, pembekal produk komunikasi optik terbesar dunia, merancang menambah pelaburan sebanyak RM400 juta lagi bagi kilangnya di Chemor, Perak, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Ini akan menjadikan jumlah keseluruhan pelaburan Finisar di Malaysia sebanyak RM1 bilion dan bakal menjana pulangan pelaburan RM38.5 bilion dalam tempoh 10 tahun,” kata Perdana Menteri.

Najib bertemu Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Finisar Jerry S. Rawls di luar acara majlis makan tengah hari beliau bersama ketua-ketua industri Amerika di sebuah hotel di San Jose, Silicon Valley, dekat sini pada Rabu (Khamis di Malaysia) dan menyerahkan surat kelulusan daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi pelaburan tambahan itu kepada Rawls.

Perdana Menteri berkata pelaburan baharu itu dijangka menyediakan peluang pekerjaan kepada kira-kira 250 orang.

Sementara itu, Rawls berkata pelaburan dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang akan termasuk pengembangan 100,000 kaki persegi (9,290 meter persegi) kilangnya di Chemor serta pengambilan lebih ramai pekerja.

Syarikat itu telah melabur kira-kira US$160 juta (RM672 juta) di Chemor sejak ia memulakan operasi pada 2001, katanya.

“Semasa kami bermula pada 2001 kami hanya mempunyai 40 pekerja tetapi kini kami memiliki lebih 6,000 pekerja,” katanya dalam temu bual sebelum majlis makan tengah hari itu.

Finisar yang mencatatkan perolehan US$1.25 bilion tahun lepas, menyumbang 25 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) pembuatan Perak dan lima peratus kepada KDNK negeri, katanya.

ARTIKEL YANG SAMA