Firma berlian, tiga bos militia kena sekatan PBB

Firma berlian, tiga bos militia kena sekatan PBB

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB), Amerika Syarikat, 21 Ogos (AFP) – PBB semalam mengenakan sekatan ke atas sebuah firma berlian dari Republik Afrika Tengah dan tiga pemimpin militia kerana menjejaskan keselamatan dan kestabilan di negara bermasalah tersebut.

Jawatankuasa sekatan PBB membeku aset firma Badica/Kardiam kerana memberikan sokongan kepada kumpulan bersenjata di Republik Afrika Tengah menerusi perniagaan haram dalam berlian serta emas.

Tindakan itu menyusuli rampasan bungkusan berlian oleh pihak berkuasa Belgium pada Mei 2014 yang dihantar kepada wakil Badica/Kardiam di Ant-werp yang mencabul pengharaman 2013 ke atas perniagaan berlian, kata jawatankuasa.

Republik Afrika Tengah diselubungi pertumpahan darah selepas rampasan kuasa 2013 menentang pemimpin Francois Bozize yang mencetuskan beberapa siri keganasan, membabitkan militia anti-balaka Kristian dan pemberontak Islam Seleka.

Jawatankuasa sekatan mengenakan satu pengharaman perjalanan global dan pembekuan aset ke atas pemimpin militia anti-balaka Alfred Yekatom, dikenali sebagai Kolonel Rambo, yang beroperasi di Bangui dan beberapa bandar lain.

Yekatom memimpin “sekumpulan anggota militia bersenjata yang hadir di kawasan PK9 Bangui” yang mengawal satu dozen tempat pemeriksaan, mengumpul “cukai tanpa kebenaran” daripada kenderaan dan trak yang mengeksport kayu gergasi ke Cameroon dan Chad, menurut dokumen yang dikeluarkan oleh jawatankuasa.

Seorang komander anti-balaka untuk wilayah Lobaye, Habib Soussou, ditambah kepada senarai hitam sekatan, begitu juga dengan bekas jeneral Seleka, Oumar Younous, digambarkan sebagai penyeludup berlian yang rapat dengan bekas presiden Michel Djotodia.

Di bawah kepimpinan Soussou, pembunuhan yang disasarkan, pertempuran dan serangan ke atas pekerja bantuan telah berlaku di wilayah Lobaye, kata jawatankuasa.

Younous, yang mempunyai pasport Sudan, dipetik memegang peranan dalam perniagaan berlian haram dari Republik Afrika Tengah ke Sudan.

Sekatan PBB pertama dikenakan pada Mei 2014, mensasarkan Bozize, pemimpin Seleka Nourredine Adam dan penyelaras politik anti-balaka Levy Yakete.

ARTIKEL YANG SAMA