Firma berstatus BioNexus bakal main peranan penting

KUALA LUMPUR, 11 Sept – Syarikat-syarikat berstatus BioNexus Malaysia dijangka akan memainkan peranan yang lebih penting apabila aktiviti pengkomersialan mereka mula agresif, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Madius Tangau.

Malaysia mempunyai sejumlah 286 syarikat BioNexus dan negara perlu mengekalkan momentum dalam aktiviti-aktiviti pengkomersilan yang lebih rancak daripada mereka.

“Strategi ini akan memberi tumpuan dalam mengukuhkan perkongsian antara sektor awam dan swasta, serta memberi khidmat nasihat termasuk sokongan perniagaan dalam bidang-bidang pembia-yaan, pengkomersialan, keusahawanan, kawal selia dan modal insan bagi pembangunan yang berterusan dalam pernia-gaan berasaskan bio,” katanya pada majlis pembukaan Pameran dan Persidangan BioMalaysia dan Bioekonomi Asia Pasifik 2017 (BioMalaysia 2017).

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Mohd Azhar Yahaya, yang turut merasmikan acara itu.

Tangau berkata, Malaysia berada dalam kedudukan terbaik untuk menjadi cemerlang dalam sektor tersebut dengan memberi tumpuan kepada unsur-unsur teras seperti sektor yang mempunyai impak termasuk memiliki pertumbuhan dan berteknologi tinggi yang mampu memacu pembangunan teknologi domestik bagi menjana peluang ekonomi baharu dan mencipta spektrum yang lebih luas dalam industri baharu.

“Kami sedang memperluaskan sempadan transformasi bagi memastikan bahawa perubahan yang dibawa adalah benar-benar holistik serta inklusif dan merangkumi pembangunan ekonomi, tadbir urus termasuk sosial.

“Sejajar dengan aspirasi Transformasi Nasional 2050, pendekatan yang lebih agresif adalah perlu untuk merangsang dan mengekalkan pertumbuhan Malaysia dalam tempoh 30 tahun akan datang,” katanya.

Selaras dengan konsep berteraskan rakyat, Program Pembangunan Komuniti Bioekonomi (BCDP), direka bagi memanfaatkan kuasa ladang luar bandar dan petani dalam perkongsian dengan syarikat-syarikat BioNexus, bagi mewujudkan sektor berasaskan bio yang akan memberi manfaat kepada penduduk. – Bernama