Firma Bumiputera perlu diutamakan

Firma Bumiputera perlu diutamakan

KUCHING, 18 Feb (Bernama) – Kerajaan Persekutuan digesa mengutamakan syarikat Bumiputera di Sarawak bagi mengendalikan pakej tugasan tertentu Projek Lebuhraya Pan Borneo.

Gesaan itu diulangi Menteri Muda (Pembangunan Usahawan Bumiputera) di Jabatan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Naroden Majais yang berpendapat peluang itu perlu diberi kepada kontraktor G6 dan ke bawah.

“Kerajaan Persekutuan perlu mengemukakan formula khusus yang mana pemberian setiap pakej kerja itu adalah berdasarkan merit.

“Menerusi cara ini, kontraktor kecil tidak akan berasa yang mereka disisihkan, sebaliknya turut mendapat manfaat,” katanya kepada media selepas menghadiri sesi jaringan untuk syarikat Bumiputera berprestasi tinggi di sini, Khamis.

Naroden juga meminta kerajaan agar melonggarkan syarat tertentu kontrak berkaitan.

“Antara syarat itu adalah mereka perlu melawat sendiri tapak cadangan projek bagi menyelami persekitaran. Malah kehadiran mereka itu akan dicatatkan.

“Isu lain termasuk perlu mendapatkan borang tender dari Kuala Lumpur dan menyerahkannya ke lokasi sama,” katanya.