Firma China labur AS$20 Juta dalam syarikat pertanian Malaysia

Firma China labur AS$20 Juta dalam syarikat pertanian Malaysia

KUALA LUMPUR, 14 Okt – AFC (Hong Kong) Investment Ltd, pengurus dana perladangan di bawah Akademi Sains Pertanian China (CAAS), bercadang melabur hingga AS$20 juta dalam syarikat berkaitan pertanian Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif, Steven Fong, berkata ia adalah sebahagian daripada inisiatif Kerajaan China dalam memastikan negara itu memperoleh bekalan makanan mencukupi pada masa depan.

“Ia adalah sebahagian inisiatif kami, bukan saja dalam bentuk suntikan modal, pada masa sama membantu syarikat tempatan mendapat akses memasuki pasaran China,” katanya sambil menambah nasihat dan bantuan teknikal akan turut diberikan kepada syarikat yang layak.

Beliau berkata demikian pada sesi pengenalan inisiatif Laluan Sutera AFC di sini, pagi ini.

Fong berkata, sebagai timbal balik kepada pelaburan yang dibuat AFC itu, pihaknya akan mengambil kepentingan minoriti dalam syarikat yang dilabur dengan matlamat menyenaraikannya di bursa saham tempatan atau serantau dalam tempoh tertentu.

CAAS adalah institut penyelidikan perladangan terbesar China yang diberi mandat kerajaan China untuk membangunkan sektor berkaitan pertanian di negara itu.

AFC, yang ditubuhkan oleh Akademi Sains Pertanian China dengan aset bernilai lebih AS$175 juta, kini menguruskan aset bernilai lebih lapan bilion yuan di peringkat global dengan lebih 70 pelaburan yang berjaya dalam 30 syarikat.

Berkata AFC juga sedang mengkaji untuk melabur di Singapura. Sementara itu, beliau berkata AFC telah menyediakan pelan kawalan risiko bagi setiap pelaburan yang dibuat dalam menghadapi keadaan ekonomi semasa.

“Kami memahami keadaan kelembapan ekonomi dan penurunan nilai mata wang yang berbeza, tetapi ini bukan saja mengenai produk komoditi tetapi produk keperluan,” katanya. – BH

ARTIKEL YANG SAMA