Firma China tingkat teknologi pandu sendiri AS$1 bilion

Firma China tingkat teknologi pandu sendiri AS$1 bilion

SHANGHAI, 8 April (AFP) – Sebuah firma kereta China berkata hari ini ia membeli dua syarikat asing dan teknologi pandu sendiri dengan harga lebih daripada AS$1 bilion, tatkala ekonomi kedua terbesar dunia itu berusaha mempertingkat kedudukan mereka dalam pasaran kereta.

Ningbo Joyson Electronic Corp berkata ia telah menandatangani satu perjanjian untuk membeli Key Safety Systems (KSS) Holdings Inc dengan harga AS$920 juta, menurut satu kenyataan kepada bursa saham Shanghai, di mana ia disenaraikan.

Ningbo, yang membekal sistem kawalan pemandu kepada syarikat kereta seperti General Motors dan Mercedes-Benz, berkata ia juga merancang membeli perniagaan pengemudian kereta TechniSat Digital GmbH di Jerman dengan harga AS$204.6 juta, tambah kenyataan.

Pengumuman itu keluar tatkala China mempercepat rancangan untuk menambah kereta pandu sendiri dan mempertingkat teknologi keselamatan kereta di negara, pasaran kereta terbesar di dunia.

KSS membekal beg udara untuk kereta biasa dan sedang menghasilkan sistem keselamatan kereta, termasuk teknologi penghindaran perlanggaran. TechniSat membekalkan sistem pengemudian dan sedang menghasilkan teknologi untuk kereta bersambung, yang boleh membantu kenderaan mengekal jarak yang selamat dan mengelak kemalangan.

Firma China berkata perjanjian itu akan membantunya “meneruskan pembaharuan tingkah laku pemanduan” dan menjadi pembekal utama dalam teknologi pandu sendiri dan kereta pintar.

Berpangkalan di bandar timur China Ningbo, Joyson mempunyai lebih daripada 7,000 pekerja dan beroperasi di Amerika Syarikat, Jerman dan Mexico, serta China. Pendapatannya pada tahun lalu berjumlah 808 juta yuan.

Perjanjian tersebut masih menunggu untuk diluluskan. Saham Joyson meningkat 0.61 peratus di Shanghai selepas rehat pada tengah hari. Perjanjian itu adalah yang terbaru dalam beberapa siri pembelian asing oleh syarikat China, tatkala Beijing menggesa firma supaya melaku pemerolehan luar negara untuk merangsang kepakaran teknologi serta mengembang pasaran.

ARTIKEL YANG SAMA