Firma Dongfeng lantik pengerusi baru

Firma Dongfeng lantik pengerusi baru

SHANGHAI, 6 Mei (AFP) – Pengeluar kereta kedua terbesar China, Dongfeng berkata hari ini pengerusinya akan diganti, namun menafikan satu khabar angin mengenai gabungan dengan sebuah lagi syarikat gergasi kereta, China FAW Group.

Dongfeng Motor Corp berkata Xu Ping akan meletak jawatan sebagai pengerusi dan ketua Parti Komunis syarikat milik kerajaan, akan diganti oleh Zhu Yanfeng, bekas pengerusi FAW, menurut satu kenyataan.

Zhu merupakan penolong ketua parti wilayah timur laut Jilin, tetapi menjadi pengerusi FAW – pengeluar kereta ketiga terbesar China – dari 1999 hingga 2007, menurut media negeri.

Kenyataan tidak memberikan sebab-sebab bagi peletakan jawatan Xu, tetapi berkata keputusan tersebut dibuat oleh parti pemerintah dan Majlis Negara, atau kabinet.

Kerajaan China mengawal pengurusan perusahaan milik negara, dengan kuasa untuk merombak pemimpin mereka pada bila-bila masa.

Dongfeng, pengeluar kereta kedua terbesar negara berdasarkan jualan pada tahun lalu, mempunyai beberapa usaha sama dengan pengeluar asing, termasuk PSA Peugeot Citroen di Perancis.

Unit Dongfeng menyangkal laporan media mengatakan satu gabungan di antara syarikat induk dan FAW akan dicapai.