Firma India bangunkan ‘vaksin Zika pertama di dunia’

Firma India bangunkan ‘vaksin Zika pertama di dunia’

NEW DELHI, 4 Feb – Pengeluar ubat India berkata semalam ia sedang menghasilkan vaksin pertama dunia ke atas Zika selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengisytiharkan kecemasan global disebabkan virus yang merebak pesat itu.

Bharat Biotech, pengeluar vaksin yang berpangkalan di selatan bandar Hyderabad, berkata dua vaksin telahpun dirancang selama setahun dan bersedia untuk ujian pra-klinikal dalam haiwan. Buat masa sekarang tidak adanya vaksin yang terbukti untuk virus Zika bawaan nyamuk, yang telah merebak di seluruh Latin Amerika di mana ia dipersalahkan atas pertambahan dalam anak damit dengan kerosakan otak.

“Kami adalah yang pertama di dunia yang memfail paten global untuk vaksin virus Zika,” beritahu Rajarshi Dasgupta, ketua jabatan perundangan dan harta intelektual syarikat, kepada AFP, menambah syarikat memfail paten tersebut setahun lalu.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia telah mengisytiharkan kecemasan kesihatan antarabangsa terhadap Zika, berkata ia “disyaki” dikaitkan dengan sejumlah besar anak damit yang lahir dengan microcephaly, atau kepala yang amat kecil.

Soumya Swaminathan, ketua pengarah Majlis Penyelidikan Perubatan India, berkata ia telah meminta Bharat Biotech untuk memberikan butir-butir saintifik vaksin berkenaan. Seorang ahli sains senior di firma India, yang meminta namanya tidak disiarkan, berkata ia sedang mempercepat proses penyelidikan ekoran wabak global tetapi tidak memberikan jadual masa untuk percubaan atau sebarang kemungkinan pelancaran komersial.

Pengumuman Bharat keluar sehari selepas syarikat Perancis Sanofi Pasteur berkata ia telah melancarkan satu projek penyelidikan dan pembangunan vaksin untuk memerangi virus Zika. Sementara tidak ada kes Zika yang telah dilaporkan di India, satu kes telah dilaporkan di Thailand dan satu lagi di Indonesia, dan pihak berkuasa kesihatan AS berkata seorang pesakit di Texas dijangkiti virus itu menerusi penjangkitan seksual.

Nyamuk Aedes aegypti, yang membawa Zika dan virus denggi dan chikungunya, juga tersebar meluas di India, yang melaporkan beribu-ribu kes denggi setiap tahun. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA