Firma Jepun revolusikan ternakan salmon

JEPUN merupakan sebuah negara pulau yang dikelilingi dengan hidupan laut, tetapi ahli perniagaan Tetsuro Sogo sedang mencari kawasan pedalaman untuk meningkatkan lagi ternakan salah satu ikan kegemaran penduduk Jepun, salmon.

Di kawasan pergunungan berhampiran dengan Tokyo, kelihatan air di dalam sebuah tangki menempatkan sekumpulan ikan salmon kelabu yang bergerak cepat di dalam tangki untuk mencari dan mendapatkan makanannya.

Ikan-ikan ini merupakan sebahagian daripada eksperimen yang dilakukan oleh Ketua Pegawai Operasi di FRD Jepun, Sogo dan berharap pada satu hari nanti ia akan dapat membuktikan bahawa penternakan ikan salmon juga dapat dilakukan di kawasan pedalaman sekali gus membolehkan Jepun untuk membeli ikan-ikan tempatan itu untuk bekalan sushi mereka. “Dengan mudah, kami akan mendapat ikan salmon yang berkualiti di mana sahaja kami berada,” tambah Sogo lagi kepada AFP.

Kebanyakan ikan salmon yang dimakan di seluruh dunia diperolehi melalui penternakan dan bukan diperolehi secara liar malah pasaran akuakultur telah didominasi oleh Norway, yang mana telah menghasilkan sekitar 1.3 juta tan ikan tersebut dalam masa setahun. Lazimnya, penternakan ikan di laut adalah cara yang paling biasa untuk menghasilkan lebih banyak ikan namun ia memerlukan prospek yang rumit.

Keadaan laut mestilah dalam keadaan suhu yang betul iaitu tidak lebih sejuk daripada 20 darjah celcius dan terletak di kawasan yang tidak mempunyai gelombang dan arus yang kuat seperti di kawasan teluk dan sungai.

Ikan-ikan ini merupakan sebahagian daripada eksperimen yang dilakukan oleh Ketua Pegawai Operasi di FRD Jepun, Tetsuro Sogo. – AFP

Kawasan penternakan pedalaman salmon merupakan satu usaha yang tidak praktikal dan mahal kerana memerlukan lebih banyak air dan penjanaan elektrik untuk menjaga kebersihan tangki. Namun situasi itu tidak menghentikan permintaan yang tinggi di sejak tahun 1980an di negara-negara Amerika Syarikat, Rusia, Eropah dan juga Jepun. Menurut laporan Tabung Hidupan Liar Dunia bahawa ikan-ikan ini sangat kaya dengan isi merah jambunya yang tebal dan enak.

“Bekalan yang ada tidak berupaya untuk memenuhi permintaan negara yang semakin meningkat,” kata Sogo ketika berada di makmal ujiannya di Saitama, 50 kilometer dari kawasan laut. Berpakaian seperti pekerja biasa sebagaimana kebanyakan pekerja Jepun yang lain, kecuali sepasang kasut getah putih, Sogo memantau dengan teliti setiap ikan itu seolah-olah dia sedang menjaga anak-anaknya sendiri. Dia menjelaskan, “Kami perlu memikirkan cara yang baru untuk menghasilkan lebih banyak salmon,” tambah Sogo.

Mengekalkan tahap kebersihan

Syarikat tersebut menjalankan dua proses iaitu pertama air paip ditukar kepada keadaan air laut dengan menambah garam sekali gus menjadikannya air laut buatan sendiri.

Proses ini membolehkan penternakan dibuat di mana sahaja di kawasan yang mempunyai paip air. Kedua, kecanggihan teknologi di mana teknologi itu berupaya untuk menghilangkan bakteria sekali gus membersihkan air, ammonia yang dihasilkan oleh ikan dan melarutkan asid nitrik yang membolehkan sistem pembersihan yang tidak memerlukan tenaga.

“Kami akan menjadi yang pertama dan berjaya di dunia kerana telah membina dan menternak salmon di kawasan darat bukan di laut, jika ia boleh mencatatkan keuntungan,” tambah Sogo.

Proses ini terhasil daripada beberapa teknologi yang dibangunkan oleh syarikat Sogo untuk sistem pelupusan kumbahan.

Pada tahun 2008, mereka telah berjaya membangunkan teknologi menentang bakteria terobosan dan tahun berikutnya ia digunakan di akuarium di Tokyo, di mana Sogo menyedari bahawa ia boleh digunakan untuk perternakan salmon.

Inovasi itu boleh menjadi rahsia besar buat Jepun, di mana tinjauan 2017 telah menemui salmon adalah sejenis ikan yang paling digemari oleh penduduk Jepun untuk makanan susyi. Ia mula dihidangkan di restoran-restoran di Jepun pada tahun 1980an, selepas Majlis Hidupan Laut Norway memulakan kempen untuk mempopularkannya. Tetapi Sogo berharap pada satu hari nanti, Jepun akan dapat mengatasi pengeluaran Norway dan mengeksport teknologi ini kepada pengguna lain di rantau berkenaan.

Kawasan penternakan pedalaman salmon merupakan satu usaha yang tidak praktikal dan mahal kerana memerlukan lebih banyak air dan penjanaan elektrik untuk menjaga kebersihan tangki. – AFP

Kebanyakan ikan salmon yang dimakan di seluruh dunia adalah diperolehi melalui penternakan dan bukan diperolehi secara liar malah pasaran akuakultur telah didominasi oleh Norway. – AFP

“Pasaran Asia dijangka akan berkembang lebih besar daripada pasaran Jepun dan kami akan melihat beberapa kemungkinan untuk menghantar salmon segar di rantau ini melalui import teknologi,” kata Sogo.

Terus mempertingkatkan

Selepas ujian yang dijalankan pada tahun lalu yang mana telah menghasilkan satu tan salmon dan telah dijual ke sebuah pasar raya utama di Tokyo, Sogo merancang untuk memiliki kemudahan perintis yang lebih besar dan berkemungkinan besar akan beroperasi pada bulan Julai di Chiba, berhampiran Tokyo dan akan menghasilkan sekitar 30 tan ikan salmon setahun.

Menjelang 2020, firma itu akan melancarkan sebuah loji komersial yang akan mampu menghasilkan sekitar 1,500 tan daging salmon yang siap untuk keperluan susyi.

Sebenarnya Sogo agak sedikit ketinggalan dan bukan satu-satunya penternak Salmon di Jepun. Pada tahun 2015, pusat bandar Imizu telah memulakan penternakan ‘Sakura-Masu’ atau ikan salmon bunga ceri yang dinamakan sempena warnanya yang menarik. Jarang ditangkap dalam hidupan liar, ikan ini dianggap sebagai salah satu produk perikanan yang sangat mewah dan mahal. Namun bandar ini sedang memelihara salmon berkenaan dengan menggunakan teknik pedalaman yang ada iaitu penggunaan air dan elektrik namun keupayaannya agak rendah dengan hanya mampu mengeluarkan sekitar 15 tan setahun.

“Kami akan berusaha meningkatkan proses pengeluaran sebaik sahaja kami membersihkan halangan kapasiti kerana terdapat permintaan yang kukuh untuk ikan yang sangat lazat ini di kawasan Tokyo,” kata Tetsuya Murashita, Pegawai Bandar Raya bertanggungjawab dalam projek berkenaan.

Syarikat makanan laut, Maruha Nichiro juga telah membina sebuah loji pada tahun lepas untuk memelihara salmon sebagaimana yang dilakukan oleh Sogo namun Maruha tidak mempunyai teknologi yang telah dipatenkan oleh Sogo.

Peminat salmon Jepun mengatakan bahawa mereka tidak sabar untuk melihat ikan-ikan yang dihasilkan oleh penduduk tempatan untuk keperluan susyi mereka.

Salmon Jepun yang ditangkap secara liar sudah terkenal dalam kalangan penduduk tempatan khususnya dalam hidangan panggang, tetapi ia tidak sesuai untuk makanan mentah kerana ia boleh menyimpan parasit berbeza dengan ikan salmon yang diternak.

“Saya sangat suka memakan salmon mentah buatan Jepun. Salmon yang diimport tidak murah malah ia lebih bagus jika saya boleh membeli salmon buatan sendiri yang lebih murah dan selamat,” kata Megumi Yamanaka, seorang pekerja syarikat berusia 40-an. – AFP